GEORGE TOWN: Datuk Seri Anwar Ibrahim berikrar Kerajaan Perpaduan akan terus memperjuang dan mempertahankan hak setiap rakyat Malaysia, sebagaimana visi mendiang Datuk Seri Karpal Singh.
Berucap pada program ‘Memperingati Mendiang Karpal’, Perdana Menteri turut menyatakan komitmennya untuk meneruskan legasi mendiang dalam memerangi sentimen perkauman, fanatik agama dan rasuah endemik di negara ini.
“Karpal telah meletakkan asas yang tinggi kepada kedaulatan undang-undang, kebebasan kehakiman, demokrasi, hak asasi manusia dan keadilan. Kami belajar dalam Kabinet bahawa cabaran itu sukar tetapi tidak dapat diatasi.
“Saya beritahu (Tan Sri) Lim Kit Siang (bekas penasihat DAP), kami berada di sini untuk satu tujuan dan kami berazam untuk memastikan Malaysia matang sebagai sebuah negara demokrasi. Kami akan terus berjuang, mempertahankan hak setiap rakyat negara ini… majoriti atau minoriti,” katanya.
Hadir sama, Timbalan Pengerusi DAP Kebangsaan yang juga anak kedua mendiang Karpal, Gobind Singh Deo, Ketua Menteri Pulau Pinang, Chow Kon Yeow dan bekas Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Refomasi Institusi), Ramkarpal Singh yang juga anak ketiga mendiang.
Sambil menyifatkan Karpal sebagai pembela kebebasan hak asasi yang berani dan mulia, Anwar yang juga Pengerusi Pakatan Harapan (PH) percaya bahawa ‘Harimau Jelutong’ itu akan gembira dengan kerajaan sedia ada, namun beliau akan tetap bersikap keras dan kritikal.
“Saya percaya Karpal akan gembira, tetapi jika beliau berada di sini sekarang, saya tidak bersetuju beliau tidak akan merungut atau membantah. Beliau akan terus bersikap tegas dan mengkritik perdana menteri. Itulah Karpal.
“Kami kawan baik dan mempunyai hubungan rapat. Karpal jelas menyokong bersama-sama Kit Siang agar saya memegang jawatan perdana menteri, namun beliau seorang yang tegas dan suka memberi kritikan,” katanya.
Presiden PKR itu turut melahirkan rasa gembira kerana Gobind, Ramkarpal dan Timbalan Ketua Menteri II Pulau Pinang, Jagdeep Singh Deo meneruskan legasi dan komitmen mendiang bapa mereka.
Karpal meninggal dunia pada usia 74 tahun, dalam kemalangan di Lebuhraya Utara-Selatan dekat Gua Tempurung, Gopeng, Perak pada Mac 2014. Kemalangan itu turut meragut nyawa pembantunya, Michael Cornelius, 39.
Mendiang yang berkhidmat sebagai Ahli Parlimen Jelutong dari 1978 hingga 1990 dan Bukit Gelugor dari 2004 hingga 2014, adalah Pengerusi Kebangsaan DAP yang ketiga dari 2004 sehingga beliau meninggal dunia. -BERNAMA
Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.