NEW YORK : Lebih 200 delegasi hadir di Invest Malaysia New York yang dianjurkan oleh Bursa Malaysia bersama Bank of America, CIMB, HSBC, Maybank dan Standard Chartered pada Khamis di sini.
Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim yang berada di sini untuk menghadiri Perhimpunan Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNGA) ke-78 meluangkan masa memberi ucap tama bertajuk ‘Regaining Malaysia’s Lead in Asia (Mengembalikan Penerajuan Malaysia di Asia)’ .
Turut bersama dalam sesi ini adalah Gabenor Bank Negara, Datuk Shaik Abdul Rasheed Abdul Ghaffour, Pengerusi Bursa Malaysia, Tan Sri Abdul Wahid Omar, Ketua Pegawai Eksekutif Bursa Malaysia, Datuk Muhamad Umar Swift dan Pengerusi Suruhanjaya Sekuriti Malaysia, Dato’ Seri Dr Awang Adek Hussin.
Anwar berkata Forum ini telah menarik minat para pelabur pasaran modal ekuiti dan bon dengan nilai aset di bawah pengurusan mencecah USD40 trilion.
“Invest Malaysia New York mengetengahkan halatuju negara yang dibina melalui Kerangka Ekonomi MADANI, disokong oleh Pelan Induk Perindustrian Baharu 2030, Pelan Hala Tuju Peralihan Tenaga Negara serta Kajian Separuh Penggal RMK-12”.
“Kerangka ini menjadi panduan dalam mencapai matlamat pembangunan negara serta memacu pertumbuhan ekonomi yang mampan” kata Anwar.
Ucap tama ini disusuli dengan sesi interaksi dengan para pelabur.
“Saya yakin forum ini dapat menarik minat dan mengutuhkan keyakinan pelabur untuk ke Malaysia” kata Anwar.
| ARTIKEL BERKAITAN