BEIJING: Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dijadual menemui Presiden China, Xi Jinping di Great Hall di sini petang ini, satu pertemuan bersejarah sejak menerajui Kerajaan Perpaduan pada November lalu.
Pertemuan itu atas undangan Jinping yang baru dilantik semula untuk penggal ketiga beberapa minggu lalu itu, bersempena lawatan empat hari Anwar ke China sejak Rabu hingga Sabtu ini.
Pertemuan dua pemimpin yang dijadual berlangsung pada kira-kira jam 4.50 petang (waktu tempatan) tertumpu ke arah merangka langkah baharu pelbagai bidang bagi menyemarak hubungan dua hala.
Mereka juga akan membincangkan langkah-langkah konkrit yang boleh diambil dalam bidang perdagangan, kerjasama politik, pencegahan rasuah dan juga isu ketamadunan.
Selesai pertemuan dengan Jinping, Anwar bersama delegasi dari Malaysia dijadual mengadakan pertemuan dengan Pengerusi National People’s Congress, Zhao Leji, di tempat sama.
Perbincangan Anwar, delegasinya serta Leji pula akan tertumpu kepada kerjasama pada peringkat ahli-ahli Parlimen kedua-dua negara.
Anwar ketika menghadiri program iftar bersama rakyat Malaysia di China berlangsung di Kedutaan Malaysia di sini semalam, menyifatkan China sebagai rakan dagangan yang penting bagi Malaysia, berbekal peranan negara itu sebagai raksasa ekonomi dunia.
Malaysia katanya, perlu merebut peluang membina kerjasama perdagangan yang lebuh kukuh dengan negara tanah besar ini, bagi meningkatkan potensi pelaburan ke dalam negara khususnya oleh pelabur China.
Antara delegasi yang bersama Anwar dalam lawatan kali ini adalah Menteri Luar, Datuk Seri Dr Zambry Abdul Kadir; Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Senator Tengku Datuk Seri Zafrul Abdul Aziz dan Menteri Pengangkutan, Anthony Loke.
Turut menyertai delegasinya, Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Nga Kor Ming; Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi, Chang Lih Kang serta Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya, Datuk Seri Tiong King Sing.