KUALA LUMPUR: Malaysia dan Qatar mengadakan perbincangan mengenai situasi terkini di Gaza, berkait pelanggaran syarat gencatan senjata oleh regim Zionis.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, berkata isu itu dibincangkan selepas beliau menerima panggilan telefon daripada rakan sejawatnya merangkap Menteri Luar Qatar, Sheikh Mohammed Abdulrahman Al-Thani, malam tadi.
“Menerusi perbualan telefon, kami berbincang mengenai situasi terkini di Gaza terkait perlanggaran syarat gencatan senjata yang sengaja dilakukan oleh rejim Zionis Israel untuk melengahkan proses perdamaian yang diusahakan pelbagai pihak termasuk kerajaan Qatar, Mesir dan Amerika Syarikat.
“Saya juga menyanjung usaha gigih yang dilakukan oleh Sheikh Mohammed dalam mencari jalan untuk menghentikan segera kekejaman Rejim Zionis ke atas penduduk Gaza dan mencapai perdamaian yang berkekalan.
“Saya turut menegaskan komitmen berterusan Malaysia untuk tetap teguh mendokong setiap inisiatif termasuk memberi bantuan kemanusiaan di samping menamatkan penjajahan dan pendudukan Israel di bumi Gaza,” katanya menerusi kenyataan di sini, hari ini.
Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.