Tumpuan :
Nasional

Anwar berikrar lawan usaha gagalkan RUU Pembangunan Semula Bandar

Oleh: Kumaran Rajamoney

ALOR SETAR: Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menegaskan bahawa Rang Undang-Undang (RUU) Pembangunan Semula Bandar (PSB) akan terus diperjuangkan kerajaan bagi meningkatkan taraf hidup masyarakat Melayu di bandar.

Beliau menyelar tindakan Perikatan Nasional (PN) yang didakwanya memainkan sentimen kaum sehingga boleh menyebabkan orang Melayu kekal miskin dan tidak berpeluang menikmati kehidupan lebih selesa.

“Mereka kata mahu pertahankan hak orang Melayu dan bercadang mengadakan perhimpunan besar-besaran. Melayu mana? Mereka mahu orang Melayu di bandar terus miskin, papa kedana di situ?” katanya.

“Kita mahu bangunkan rumah yang lebih selesa, lengkap dengan tiga bilik dan dua bilik air. Itu kamu kata khianat? Saya tidak peduli, kalau mereka turun (protes), saya akan lawan,” tegasnya.

Menurutnya, banyak projek perumahan era 1960-an, termasuk Flat Seri Perlis di Kuala Lumpur, sudah usang dan tidak lagi sesuai untuk didiami.

Justeru, pindaan undang-undang ini akan membolehkan penghuni menerima pampasan lebih munasabah tanpa perlu melalui proses undang-undang yang rumit.

“Kita sudah ada pengalaman dalam pembangunan Flat Tun Razak, di mana hanya kerana seorang tidak bersetuju, keseluruhan proses terpaksa melalui mahkamah.

“Pampasan yang diputuskan mahkamah pula lebih rendah berbanding nilai rumah yang disediakan,” jelasnya.

Anwar turut menegaskan bahawa status tanah yang dibangunkan akan kekal sebagai tanah rizab Melayu atau milik kerajaan tanpa sebarang perubahan.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Penutup Konvensyen Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JPKKP) Negeri Kedah, di sini hari ini.

Sebelum ini, Pemuda PAS dilaporkan merancang mengadakan perhimpunan bagi membantah cadangan kerajaan memperkenalkan RUU PSB yang didakwa boleh mengancam hak pemilik hartanah, terutamanya penduduk bandar yang kurang berkemampuan.

RUU itu turut disifatkan sebagai satu bentuk “penjajahan moden” yang boleh menyebabkan penduduk bandar diusir dari tanah mereka, seolah-olah strategi yang digunakan terhadap rakyat Palestin.

Untuk rekod, kerajaan bercadang membentangkan RUU PSB pada Jun atau Julai tahun ini.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini