comscore
Tumpuan :
Nasional

Anwar akan bertemu PM China di Nanning esok

FOTO: Anwar Ibrahim/ Facebook

NANNING: Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim dijadual mengadakan mesyuarat dua hala dengan rakan sejawatnya Li Qiang sempena lawatan beliau ke Nanning, ibu kota Wilayah Autonomi Guangxi Zhuang di selatan China, esok.

Anwar, yang juga Menteri Kewangan, mengadakan lawatan kerja ke bandar raya ini esok bagi menghadiri Ekspo China-ASEAN (CAEXPO) 2023 atas undangan Li.

Konsul Jeneral di Nanning Ahmad Phadil Ismail berkata kedua-dua pemimpin akan bertemu buat kali kedua tahun ini selepas lawatan sulung Anwar ke China pada Mac lepas.

“Mesyuarat dua hala itu akan membolehkan kedua-dua pemimpin membuat susulan berhubung perbincangan terakhir mereka,” katanya kepada wartawan Malaysia di sini hari ini.

Beliau berkata Perdana Menteri juga akan mengadakan sesi libat urus bersama gergasi korporat China selepas bertemu Li.

Pada Mac lepas, Anwar telah mengadakan lawatan sulung ke China di mana beliau berkunjung ke Beijing dan Hainan selepas dilantik sebagai Perdana Menteri pada November 2022 yang menyaksikan Malaysia berjaya memperoleh komitmen pelaburan bernilai RM170 bilion dari negara ekonomi kedua terbesar dunia itu.

Ahmad Phadil juga berkata semasa lawatan kerja sehari ke Nanning itu, Anwar dijadual berucap pada majlis perasmian CAEXPO dan Sidang Kemuncak Perniagaan dan Pelaburan China-ASEAN (CABIS) bersama Li serta pemimpin ASEAN lain termasuk dari Vietnam, Laos dan Vietnam.

Perdana Menteri juga akan merasmikan Astaka Malaysia di CAEXPO.

Sementara itu, Kementerian Luar dalam kenyataan hari ini memaklumkan semasa pertemuan kedua-dua pemimpin, Anwar dan Li akan membincangkan hubungan dua hala Malaysia-China selain bertukar-tukar pandangan mengenai isu serantau dan antarabangsa yang mempunyai kepentingan bersama.

Menurut kenyataan itu, Li juga akan menganjurkan majlis jamuan tengah hari bagi meraikan Perdana Menteri.

CAEXPO adalah antara pameran antarabangsa terbesar anjuran bersama China dan ASEAN yang berfungsi sebagai platform penting untuk ahli perniagaan serta perusahaan dari rantau ASEAN dan China bagi meneroka sinergi perniagaan selain mempromosi produk keluaran mereka dalam kawasan perdagangan bebas terbesar di dunia.

Menurut kenyataan itu, Malaysia telah menyertai ekspo tersebut sejak kewujudannya pada 2004.Kenyataan itu menyebut pada tahun ini, sebanyak 107 syarikat Malaysia daripada pelbagai sektor akan menyertai expo itu di bawah Astaka Malaysia yang diselaras oleh Perbadanan Pembangunan Perdagangan Luar Malaysia (MATRADE).

Semasa lawatan itu, Perdana Menteri akan diiringi Timbalan Menteri Luar Datuk Mohamad Alamin, Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz, Menteri Pembangunan Kerajaan Tempatan Nga Kor Ming, Timbalan Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan Chan Foong Hin serta para pegawai kanan kerajaan.

China merupakan rakan perdagangan terbesar Malaysia sejak 2009 dan pada 2022, nilai dagangan di antara Malaysia dan China adalah 17.1 peratus daripada jumlah keseluruhan perdagangan global Malaysia bernilai RM2.8 trilion.

Jumlah nilai dagangan di antara kedua-dua negara pada 2022 ialah RM487.13 bilion yang menyaksikan peningkatan sebanyak 15.6 peratus berbanding tempoh sama tahun lepas.

Tahun ini adalah ulang tahun ke-10 penubuhan Perkongsian Strategik Komprehensif Malaysia-China dan kedua-dua negara akan menyambut ulang tahun ke-50 hubungan diplomatik mereka tahun depan.– BERNAMA

Loading...
Terkini