Tumpuan :
Nasional

Anthony Loke mungkin dipanggil PAC

Menteri Pengangkutan, Anthony Loke. FOTO: NSTP

MELAKA: Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara (PAC) tidak menolak kemungkinan akan memanggil beberapa individu penting termasuk Menteri Pengangkutan, Anthony Loke berhubung dakwaan kerugian RM500 juta dalam urus niaga saham Malaysia Airports Holdings Berhad (MAHB) oleh Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP).

Pengerusi PAC, Datuk Mas Ermieyati Samsudin berkata, Loke bersama semua individu berkenaan akan dipanggil memberi keterangan dalam prosiding secara berperingkat yang akan bermula minggu kedua bulan ini.

“Kita pernah memanggil MAHB sebelum ini untuk membincangkan mengenai beberapa perkara dan bagi pengurusan lapangan terbang awam, PAC sudah menyediakan terma rujukan bahawa prosiding yang akan menjurus kepada semua isu termasuk penyahsenaraian MAHB daripada Pasaran Utama Bursa Malaysia sebagai pemilikan Konsortium Gateway Development Alliance Sdn Bhd (GDA) diterajui Khazanah Nasional Berhad selain berkaitan isu harga tiket yang tinggi serta isu kelewatan pemasangan Aerotrain.

“Beberapa pihak yang akan dipanggil sudah pun disenaraikan dan insya-Allah pada minggu kedua bulan ini kita jangka akan mulakan prosiding terbabit.

“Saya tidak menolak kemungkinan memanggil juga Menteri Pengangkutan kerana terdapat masalah berkaitan perkhidmatan Aerotrain, jadi penting untuk kita maklum balas serta keterangan daripada beliau,” katanya selepas menghadiri majlis perasmian Pusat Khidmat Srikandi Bersatu Melaka di Taman Tambak Paya Harmoni, Ayer Molek, di sini, malam tadi.

Media sebelum ini melaporkan, beberapa wakil badan bukan kerajaan (NGO) serta parti politik mendesak KWSP menjelaskan penjualan saham MAHB yang dimilikinya pada Januari 2023 dengan kadar harga sekitar RM6.74 seunit sebelum membelinya semula pada harga tawaran RM11 seunit dalam usaha menswastakan MAHB.

MCA turut meminta kerajaan menyiasat segera penjualan saham syarikat penerbangan awam itu, sekali gus menyaksikan KWSP hanya mempunyai pegangan saham lima peratus dalam MAHB.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini