Tumpuan :
Nasional

Antara Nasi Dagang dan Yee Sang, ‘Mekyun’ rai harmoni dalam perayaan

Mekyun bersama keluarga meraikan sambutan Tahun Baharu Cina.

Oleh: Vinsla Santiran

KUALA LUMPUR: Sambutan perayaan seperti Tahun Baharu Cina bukan sekadar meriah dengan cahaya tanglung dan tarian naga, tetapi juga menjadi wadah untuk mempererat kefahaman antara budaya.

Bagi pempengaruh popular, Wee Yun Nee, 28, atau lebih dikenali sebagai Mekyun, populariti bukan sekadar angka, tetapi amanah untuk menyebarkan kebaikan dan ilmu bermanfaat kepada pengikutnya.

Menurut Mekyun, platform media sosialnya bukan hanya sekadar ruang hiburan, tetapi juga medium untuk mengukuhkan perpaduan dalam masyarakat majmuk Malaysia.

Berasal dari Kota Bharu, Kelantan, kelebihannya bertutur dalam dialek Pantai Timur menjadi keistimewaan yang menghubungkan dirinya dengan pelbagai lapisan masyarakat. Ia juga menjadi dorongan buatnya untuk mencipta kandungan yang memperlihatkan keindahan kepelbagaian budaya di negara ini.

“Apabila balik Kelantan ni, saya boleh la tunjuk kepada followers betapa uniknya walaupun sambut Tahun Baharu Cina, masakan pada hari perayaan adalah nasi dagang, nasi kerabu, laksa dan sebagainya,” katanya.

Bagi keluarga Mekyun, semangat perayaan tidak terbatas kepada satu kaum sahaja. Aidilfitri dan Deepavali turut diraikan dengan penuh kemesraan.

“Bagi meraikan sesuatu perayaan, adalah baik untuk kita memupuk semangat perpaduan dengan menjemput dan menghadiri semua perayaan yang disambut jiran dan rakan-rakan,” ujar abangnya, Jason Wee.

Sebagai individu yang mempunyai jutaan pengikut di pelbagai platform media sosial, Mekyun menyedari bahawa setiap perkongsiannya membawa pengaruh yang besar, sekali gus menjadikannya tanggungjawab untuk menyebarkan mesej yang positif.

Sementara itu, ibunya, Datin Shirlyne Tan, berkongsi bahawa Tahun Baharu Cina kali ini diraikan dengan keunikan tersendiri apabila mereka memilih menu tradisional Melayu sebagai hidangan utama.

“Tahun ini aunty buat nasi dagang, kadang-kadang nasi kerabu sebab itu adalah kegemaran anak dan suami,” katanya dengan senyuman.

Di sebalik keceriaan dan warna-warni Tahun Baharu Cina, terserlah satu mesej yang lebih besar, bahawa kepelbagaian bukan pemisah, tetapi jambatan yang menghubungkan hati dan jiwa.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini