KUALA LUMPUR: Polis membuka satu kertas siasat berhubung kejadian seekor anjing yang disyaki mati dipukul pekerja sebuah sekolah di Sungai Buloh.
Terdahulu tular rakaman video keadaan seekor anjing yang terbaring dan dipercayai tidak bernyawa yang dirakam seorang pemilik akaun aplikasi TikTok, atas nama ‘Divenyasshni’ sebelum pengadu yang juga ibu kepada seorang pelajar sekolah berkenaan membuat laporan polis.
Ketua Polis Daerah Sungai Buloh, Superintendan Mohd Hafiz Muhammad Nor berkata, pengadu yang berusia 41 tahun yang juga pekerja sebuah pertubuhan bukan kerajaan (NGO), telah dimaklumkan oleh anaknya tentang kejadian berkenaan, pada jam 10 pagi kelmarin (Jumaat).
“Pengadu yang membuat laporan polis petang semalam, memaklumkan dia telah pergi ke sekolah anaknya bertemu dengan seorang guru dan juga seorang pekerja kebersihan sekolah.
“Pekerja kebersihan memberitahu pengadu bahawa kepala anjing itu telah tersangkut di pagar surau sekolah dan pekerja telah memukul kepala anjing hingga mati sebelum bangkainya ditanam.
“Pengadu tidak berpuashati selepas pihak sekolah tidak memberi kerjasama untuk menunjukkan tempat bangkai ditanam kerana pengadu ingin membawa anjing berkenaan bagi tujuan bedah siasat sebelum membuat laporan polis,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Mohd Hafiz berkata, satu kertas siasatan dibuka di bawah Seksyen 428 Kanun Keseksaan atas kesalahan khianat dengan membunuh atau mencacatkan mana-mana haiwan yang boleh dihukum penjara maksimum atau denda atau kedua-duanya sekali.
“Polis juga turut menyiasat di bawah Seksyen 233 Akta Komunikasi Multimedia atas kesalahan penggunaan tidak wajar kemudahan rangkaian atau perkhidmatan rangkaian.
“Pihak polis menasihatkan orang ramai agar tidak melakukan apa-apa perkara serta tindakan yang menyalahi undang-undang,” katanya.
Sebarang maklumat berhubung kejadian ini boleh disalurkan kepada mana-mana balai polis berhampiran atau berhubung dengan Pegawai Penyiasat, Inspektor Mohamad Azammudin Mohd Razib di talian 016-5661597.
Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.