BAGAN SERAI: Lima kenderaan terbabit kemalangan selepas sebuah daripadanya merempuh seekor kerbau di Kilometer 200 Lebuhraya Utara Selatan, arah selatan, berhampiran Kampung Matang Pasir, di sini, pagi tadi.
Jurucakap Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Perak, berkata akibat kejadian itu, lima mangsa cedera dan dikejarkan ke hospital berhampiran dengan tiga ambulans.
Katanya, sepasukan anggota daripada Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Bagan Serai segera dikejarkan ke lokasi sebaik menerima laporan pada jam 3.52 pagi.
“Siasatan mendapati terdapat lima kenderaan berlanggar sesama sendiri lepas kenderaan pertama, PERODUA Myvi yang dinaiki empat orang dewasa merempuh seekor kerbau yang melintas.
“Kenderaan lain yang terbabit kemalangan ialah Honda HRV, Satria Neo, PERODUA Alza dan Toyota Yaris,” katanya dalam kenyataan.
Jurucakap itu berkata, kes kini dikendalikan oleh pihak polis.