Tumpuan :
Nasional

Angkara cemburu, lelaki warga Bangladesh pukul isteri guna batang mop

Foto hiasan

AMPANG JAYA: Seorang lelaki warga Bangladesh ditahan selepas disyaki memukul isterinya dengan batang mop dan alat pengering rambut di kediaman mereka di Taman Dagang, di sini, Isnin lalu.

Ketua Polis Daerah Ampang Jaya, Asisten Komisioner Mohd Azam Ismail berkata, wanita warga Indonesia berusia 46 tahun yang bekerja sebagai tukang cuci itu membuat laporan polis pada jam 8 malam Isnin lalu selepas berlaku pertengkaran dengan suaminya berumur 42 tahun yang bekerja sebagai buruh binaan.

Menurutnya, pertengkaran berpunca daripada suspek mengesyaki isterinya mempunyai hubungan dengan lelaki lain.

“Disebabkan itu, mangsa dipukul di bahagian anggota badan sebelah kiri dengan menggunakan batang mop dan alat pengering rambut sehingga mengalami kecederaan.

“Susulan itu, pada jam 5 petang Selasa lalu, sepasukan polis dari Bahagian Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Ampang Jaya menahan suspek di Taman Dagang,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Mohd Azam berkata, ujian saringan mendapati suspek negatif dadah dan direman bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 324 Kanun Keseksaan.

“Kertas siasatan sudah dilengkapkan dan dirujuk ke Timbalan Pendakwa Raya dan akan dituduh di mahkamah,” katanya.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini