Oleh: Wan Zairul Azri Wan Mohammad Sudin
PUTRAJAYA: Masalah penyalahgunaan dan penagihan dadah serta bahan terlarang di negara ini semakin membimbangkan sekali gus menuntut segera langkah penyelesaian tuntas sebelum keadaan menjadi kian mudarat.
Manakan tidak mengikut statistik, bagi tempoh tiga bulan pertama tahun ini sahaja, jumlah penyalah guna dan penagih dadah serta bahan terlarang yang direkodkan adalah sebanyak 103,760 orang.
Angka itu menghampiri jumlah keseluruhan dalam tempoh satu tahun bagi tahun-tahun sebelumnya.
Untuk rekod, seramai 137,176 orang penyalah guna dan penagih dadah serta bahan dilaporkan pada tahun lalu, iaitu peningkatan masing-masing daripada 128,325 dan 123,139 orang pada tahun 2020 serta 2021.
Selain itu, sebanyak 130,788 penagih direkodkan pada 2018, manakala 142,199 orang pada 2019.
Data ini diperolehi daripada Polis Diraja Malaysia (PDRM), Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK), Kementerian Kesihatan (KKM) dan Pusat Pemulihan Dadah Persendirian (PPDP).
Sementara itu, sepanjang tempoh enam tahun data berkenaan, majoriti kes atau kira-kira 95 peratus kes membabitkan penagih lelaki.
Daripada statistik keseluruhan kes sejak awal tahun ini hingga Mac lalu, sebanyak 54,387 kes baharu direkodkan dan baki selebihnya 49,373 adalah kes berulang.
Lima negeri yang merekodkan kes tertinggi adalah Kedah seramai 11,057 orang, diikuti Johor (10,962), Selangor (10,794), Perak (9,967) dan Kelantan (9,759).
Di samping itu, kira-kira 59.6 peratus atau 61,840 penagih adalah golongan belia berumur 19 hingga 39 tahun dan 396 orang daripada kategori remaja berumur 13 hingga 18 tahun.
Sebanyak 41,431 orang pula adalah golongan dewasa 40 tahun ke atas, manakala 93 orang lagi tiada maklumat dan tiada kes membabitkan kanak-kanak 12 tahun ke bawah.
Majoriti penagih bekerja di sektor swasta (33,046 orang) dan dalam kalangan individu yang mempunyai taraf pendidikan di peringkat Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) iaitu seramai 41,658 orang.
Dengan kepesatan teknologi dan ‘mudahnya’ mendapatkan bekalan di hujung jari, dadah sintetik kini dijual di laman web gelap atau aplikasi sosial seperti Telegram dan WhatsApp.
Terdahulu, Ketua Pengarah AADK, Sutekno Ahmad Belon mendedahkan, bekalan bahan terlarang tersebut boleh diperolehi serendah RM18 dan dihantar terus menggunakan perkhidmatan kurier ke depan pintu rumah.
Melihat kepada angka yang menggusarkan ini terutama membabitkan generasi masa depan, selain bekalan senang diperoleh, maka tindakan pencegahan perlu dilaksanakan dengan lebih berkesan.
Untuk itu, Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi dilaporkan telah memberikan tempoh tiga bulan kepada Kementerian Dalam Negeri (KDN) dan AADK untuk mengkoordinasi usaha bagi merangka inisiatif atau program efektif untuk membendung masalah dadah.
Dalam kenyataan selepas mempengerusikan mesyuarat Jawatankuasa Kabinet Membanteras Gejala Dadah Bilangan 1 Tahun 2023 di Putrajaya semalam, beliau berkata, beberapa agensi berkaitan juga perlu berganding bahu merangka, menyusun inisiatif atau program efektif agar gejala dadah dibendung dengan lebih berkesan.
Ujarnya, keberkesanan tentang penguatkuasaan undang-undang di dalam negara akan diperhalusi bagi menangani penyalahgunaan dadah secara tuntas.
“Keberkesanan atau kejayaan dikaji bukan terhadap jumlah yang dipulihkan tetapi kepada jumlah tangkapan atau pengurangan jumlah penagih di dalam negara secara keseluruhannya,” katanya.