comscore
Tumpuan :
Nasional

Angin Baratan: APM, Bomba siap siaga berdepan risiko bencana 

KUALA LUMPUR: Seramai 427 anggota Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) bersiap sedia menghadapi sebarang kemungkinan bencana susulan negeri di utara Semenanjung dijangka mengalami angin baratan yang berpotensi menghasilkan ribut petir berserta hujan lebat dan angin kencang.

Ketua Pesuruhjaya APM, Aminurrahim Mohamed, berkata bagi berdepan cuaca itu yang dijangka berlaku sehingga Rabu ini, petugas akan digerakkan setiap hari bagi memantau lokasi panas atau ‘hotspot’ dan kawasan yang mungkin berlaku runtuhan, kenaikan air dan sebagainya.

“Saya merancang untuk minta mereka melihat kemungkinan pokok tumbang disebabkan angin kencang. Sekiranya ada, kita akan maklumkan kepada pihak berkenaan seperti Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) untuk mengambil tindakan,” katanya.

Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia) menerusi kenyataan dikeluarkan 9 pagi tadi memaklumkan keadaan berterusan sehingga Rabu ini akan turut meliputi Kelantan dan Terengganu.

Sementara itu, Ketua Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM), Datuk Abdul Wahab Mat Yasin, berkata pihaknya mengambil langkah bersiap siaga termasuk membuat persediaan lebih rapi dengan melakukan rondaan lebih kerap terutama di kawasan pantai yang dijangka berlaku luruan angin.

Beliau berkata, pihaknya sentiasa bersedia 24 jam dan melakukan pemantauan di kawasan dikenal pasti berpotensi dilanda bencana, selain turut sentiasa melakukan semakan dengan MetMalaysia berhubung situasi semasa keadaan cuaca seluruh negara.

“JBPM akan melakukan rondaan melalui Safety Water and Rescue Team (SWART) di sebelah Pantai Timur untuk memastikan dan memberikan ingatan kepada orang ramai agar tidak mengunjungi kawasan pantai dan melakukan apa jua aktiviti termasuk bermandi-manda manakala masyarakat nelayan tidak turun ke laut,” katanya. – BERNAMA

Loading...
Terkini