Tumpuan :
Nasional

Anggota TLDM, pejalan kaki maut dalam kemalangan

Anggota polis dan bomba mengangkat mayat mangsa pejalan kaki yang maut selepas terbabit dalam kemalangan di Jalan UMS, dekat Alamesra, Kota Kinabalu. – FOTO: NSTP

KOTA KINABALU: Dua lelaki, termasuk seorang anggota Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM), maut dalam kemalangan di Jalan UMS, di sini, malam tadi.

Dalam kejadian jam 8.30 malam itu, anggota TLDM berusia lingkungan 20-an dan seorang pejalan kaki lelaki berusia 40-an meninggal dunia di lokasi. Pembonceng motosikal, lelaki berusia lingkungan 20-an, cedera dan dirawat di Hospital Queen Elizabeth II (HQE II).

Ketua Polis Daerah Kota Kinabalu, Asisten Komisioner Kasim Muda, berkata siasatan awal mendapati motosikal Yamaha LC yang dinaiki mangsa bergerak dari arah Jalan Sepanggar ke pusat bandar raya menggunakan lorong tengah jalan.

“Ketika tiba di lokasi, seorang pejalan kaki tiba-tiba berlari melintas jalan dari kiri ke kanan, dipercayai untuk menuju ke rumah sewanya di Kampung Pulau Penampang di seberang jalan. Jarak yang terlalu dekat menyebabkan penunggang motosikal gagal mengelak dan melanggar pejalan kaki itu,” katanya.

FOTO: NSTP

Penunggang motosikal dan pejalan kaki maut di tempat kejadian akibat kecederaan parah, manakala pembonceng motosikal cedera.

“Siasatan mendapati kemalangan berpunca daripada kecuaian pejalan kaki yang tidak menggunakan jejantas berdekatan. Kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987,” katanya.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini