Tumpuan :
Nasional

Anggota tentera terlanggar penunggang motosikal ketika pendaratan payung terjun

Tangkap layar daripada video yang tular di media sosial.

KUALA LUMPUR: Seorang anggota Batalion ke-18 Rejimen Askar Melayu Diraja (18 RAMD) tersasar dari zon pendaratan dan secara tidak sengaja mendarat dan melanggar sebuah motosikal awam ketika menjalani latihan terjun payung di Tanjung Bidara, Melaka, kelmarin.

Tentera Darat Malaysia (TDM) dalam satu kenyataan hari ini mengesahkan kejadian itu berlaku akibat perubahan arah angin berhampiran zon pendaratan (ZG) semasa Latihan Penerjunan Bebas Eksesais Eagle Swift Siri 1/2025 di Airstrip, Kem Terendak.

Menurut kenyataan itu, insiden membabitkan Koperal Mohd Zahier Zainol Abidin, 29, dari Batalion Ke-18 Rejimen Askar Melayu Diraja (18 RAMD).

“Ketika melakukan final approach menghampiri ZG, perubahan angin menyebabkan anggota terkeluar dari garis pendaratan dan terpaksa mendarat di kawasan berhampiran,” kata kenyataan itu.

TDM memaklumkan bahawa Mohd Zahier dan orang awam terbabit tidak mengalami kecederaan serius. Namun, penunggang motosikal berkenaan meninggalkan lokasi sebelum pihak berkuasa sempat mengambil keterangannya.

Sehubungan itu, TDM menasihatkan orang ramai agar tidak membuat sebarang spekulasi mengenai kejadian tersebut selepas satu klip video insiden berkenaan tular di TikTok.

Terdahulu, rakaman berdurasi 24 saat menunjukkan seorang anggota tentera terjun payung yang tersasar dan mendarat di atas motosikal awam sebelum bergelut untuk mengimbangi diri. Video tersebut mendapat perhatian luas di media sosial.

TDM menegaskan bahawa latihan ini dijalankan mengikut prosedur keselamatan yang ketat, dan pihaknya sedang menyiasat insiden berkenaan.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini