KUALA LUMPUR: Tindakan pantas seorang anggota tentera berjaya menyelamatkan empat remaja daripada lemas selepas sampan dinaiki mangsa karam ketika memancing di sebuah tasik di Puncak Alam, Selangor, semalam.
Polis menerima aduan pada jam 12.30 tengah hari daripada orang awam yang memaklumkan terdapat empat remaja lelaki terjatuh ke dalam tasik berkenaan.
Ketua Polis Daerah Sungai Buloh, Superintendan Mohd Hafiz Muhammad Nor berkata, sebaik saja menerima aduan itu, pihaknya segera menghubungi Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Bukit Jelutong serta menghantar kereta peronda ke lokasi untuk memberikan bantuan.
“Setiba di lokasi, pihak polis dimaklumkan bahawa empat remaja yang dikhuatiri lemas itu sudah diselamatkan oleh orang awam yang melalui kawasan berkenaan.
“Tindakan pantas anggota Angkatan Tentera Malaysia (ATM) yang bertugas di Kem Sungai Buloh, Mohd Nor Khalid, berjaya menyelamatkan empat remaja terbabit daripada lemas,” katanya dalam satu kenyataan, di sini, hari ini.
Beliau berkata, hasil siasatan mendapati kejadian berlaku ketika empat mangsa itu bersama dua lagi remaja lelaki yang kesemuanya berusia 13 tahun, memancing di lokasi berkenaan.
“Mereka menggunakan sampan yang terdampar di tepi tasik, untuk keluar memancing sebelum ia karam di tengah tasik. Bagaimanapun, dua daripada remaja terbabit berjaya menyelamatkan diri kerana mahir berenang,” katanya.
Sehubungan itu, Mohd Hafiz berkata, pihak polis merakamkan penghargaan dan ucapan terima kasih kepada Mohd Nor yang membantu menyelamatkan empat mangsa terbabit.
“Ibu bapa dinasihatkan sentiasa mengawasi anak-anak agar insiden seumpama itu tidak berulang pada masa akan datang,” katanya.
Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.