comscore
Tumpuan :
Nasional

Anggota tentera maut, motosikal bertembung dengan kereta

Seorang anggota tentera maut selepas motosikal ditunggang dirempuh sebuah Honda Civic dalam kemalangan di kilometer 3, Jalan Kluang – Nyior di Kluang Johor kira-kira 8 malam tadi. FOTO: Ihsan Polis

KLUANG: Seorang anggota tentera bertarung nyawa kira-kira tujuh jam sebelum maut selepas motosikal yang ditungganginya bertembung dengan sebuah kereta di Kilometer 3 Jalan Kluang-Nyior, di sini malam tadi.

Yuskhairi Zailani, 37, yang parah bahagian kaki, badan dan kepala, meninggal dunia ketika menerima rawatan di Unit Rawatan Rapi (ICU) Hospital Enche’ Besar Hajjah Khalsom (HEBHK), jam 3.30 pagi tadi.

Ketua Polis Daerah Kluang, Asisten Komisioner Bahrin Mohd Noh berkata, nahas yang berlaku jam 8.07 malam itu, hanya dilaporkan kepada polis kira-kira dua jam kemudian oleh pemandu kereta terbabit yang juga seorang mekanik berusia 37 tahun.

“Mekanik berkenaan datang buat laporan polis mendakwa kemalangan jam lebih kurang jam 8.07 malam membabitkan Honda Civic dipandunya dengan Yamaha Ego LC.

“Hasil siasatan awal di tempat kejadian mendapati kereta dari arah Nyior menghala ke bandar Kluang, manakala mangsa dari arah bertentangan.

“Sampai di tempat kejadian, kereta memotong sebuah motosikal di kawasan garisan berkembar lalu bertembung dengan motosikal ditunggang mangsa,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Katanya, lelaki yang memandu kereta berkenaan turut mengalami cedera ringan di bahagian muka, tangan dan kaki serta mendapatkan rawatan di sebuah klinik swasta, di sini, manakala anggota tentera itu dibawa ke HEBHK dengan ambulans.

Tambahnya, kes disiasat mengikut Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa

Loading...
Terkini