comscore
Tumpuan :
Nasional

Anggota tentera maut digilis pikap selepas terlanggar anjing

Seorang anggota TLDM maut digilis pikap selepas terlanggar anjing di Jalan Pularek, Pengerang, Kota Tinggi, malam tadi.- FOTO: NSTP

KOTA TINGGI: Seorang anggota Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) maut digilis pikap sejurus terjatuh daripada motosikal ditunggangi selepas terlanggar anjing malam tadi.

Ketua Polis Daerah Kota Tinggi, Superintendan Hussin Zamora, berkata kejadian jam 8.40 malam itu berlaku di Jalan Pularek, Pengerang di sini.

Katanya mangsa lelaki yang berusia 24 tahun dan bertugas di KD Sultan Ismail (KDSI) Tanjung Pengelih menunggang motosikal jenis Honda RS150.

“Polis menerima maklumat daripada orang awam mengenai kemalangan maut membabitkan sebuah motosikal, Toyota Hilux yang dipandu lelaki warga tempatan berumur 22 tahun dan seekor anjing.

“Hasil siasatan mendapati kejadian berlaku apabila mangsa yang dalam perjalanan pulang ke kem terbabit terlanggar seekor anjing yang melintas jalan.

“Mangsa kemudiannya terjatuh sebelum digilis Toyota Hilux akibat keadaan jalan yang gelap tanpa lampu jalan,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Hussin berkata mangsa yang parah meninggal dunia di lokasi kejadian dan mayat mangsa dihantar ke unit forensik Hospital Kota Tinggi.

“Pemandu Toyota Hilux tidak mengalami kecederaan. Kes disiasat mengikut Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987,” katanya.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa

Loading...
Terkini