![](https://media.buletintv3.my/2022/10/GEN-POLIS-JENAYAH-LOGO-PDRM-GARI-3.jpg)
IPOH: Polis menahan seorang anggota tentera selepas didapati memiliki 11 senjata lastik (slingshot) menyerupai senapang dan senjata panahan (crossbow) di Kem Syed Putra, Jalan Tambun, di sini tengah malam tadi.
Pemangku Ketua Polis Perak Deputi Komisioner Zulkafli Sariaat berkata, serbuan dijalankan sekitar 12.30 tengah malam oleh sepasukan polis dari Bahagian Siasatan Khas (D9) Bukit Aman.
Katanya, dalam serbuan itu polis merampas tujuh slingshot menyerupai senapang, crossbow (4), anak panah pelbagai jenis (6) dengan setiap jenis mempunyai lima anak panah dan 300 bebola ‘bearing’.
Menurutnya, suspek berusia 34 tahun itu direman dua hari sehingga hari ini bagi membantu siasatan.
“Kes disiasat mengikut Seksyen 8(a) Akta Senjata 1960 dan Seksyen 7(1) Akta Bahan Kakisan Letupan dan Senjata Berbahaya 1958,” katanya menerusi kenyataan tengah malam tadi.
Difahamkan, selain anggota tentera berpangkat Staf Sarjan berkenaan turut mempromosikan penjualannya menerusi platform e-dagang media sosial TikTok termasuk melalui penstriman secara langsung.
Suspek juga melaksanakan aktiviti promosi dan menjual senjata tiruan itu sejak April tahun lalu, selain memperoleh peralatan itu daripada ejen di luar Perak.
Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.