KUALA LUMPUR: Seorang anggota tentera ditahan bersama tiga jenis dadah dalam satu serbuan di sebuah restoran di Taman Kok Lian, Jalan Ipoh, di sini, semalam.
Timbalan Ketua Polis Daerah Sentul Superintendan Jasni Zolpa berkata, tangkapan terhadap suspek berusia 37 tahun itu dilakukan oleh anggota ronda dari Balai Polis Jinjang jam 3.30 pagi, di sini semalam.
“Hasil pemeriksaan dilakukan menemui beberapa jenis dadah iaitu methaphetamin seberat 6.75 gram, 31 pil berwarna putih disyaki nitrazepam (38.39 gram) dan pil yaba (1.49 gram).
“Ujian saringan awal air kencing dilakukan terhadap suspek terbabit didapati positif dadah jenis amphetamin dan methaphetamin,” katanya dalam kenyataan, hari ini.
Menurutnya, siasatan awal mendapati dadah-dadah dimiliki suspek terbabit dipercayai untuk kegunaan sendiri.
Katanya, suspek direman tiga hari bermula semalam hingga 8 November untuk siasatan lanjut mengikut Seksyen Akta Dadah Berbahaya 1952.
Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.