Tumpuan :
Nasional

Anggota RELA sedang bertugas, maut dirempuh lori

GOMBAK: Seorang anggota Jabatan Sukarelawan Malaysia (RELA) maut dilanggar sebuah lori ketika sedang bertugas mengawal lalu lintas di Batu 10 Jalan Gombak Lama di sini, pada Sabtu lalu.

Dalam kejadian 3.10 petang, wanita berusia 73 tahun yang menunggang motosikal Yamaha 135LC itu berada di bahu jalan sebelum terbabit kemalangan.

Ketua Polis Daerah Gombak Asisten Komisioner Noor Ariffin Mohamad Nasir berkata, pihaknya menerima laporan kemalangan itu pada 3.48 petang.

“Siasatan mendapati, ketika kejadian mangsa sedang bertugas menjaga kawalan lalu lintas bagi larian maraton.

“Mangsa yang berada di atas motosikal di bahu jalan sebelah kiri memberi arahan kepada beberapa kenderaan untuk mengosongkan laluan.

“Secara tiba-tiba sebuah lori dipandu lelaki tempatan berusia 32 tahun yang melalui lokasi itu terlanggar mangsa,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Noor Ariffin berkata, mangsa mengalami cedera parah dan disahkan meninggal dunia di lokasi manakala pemandu lori tidak mengalami sebarang kecederaan.

Beliau berkata, mayat mangsa dihantar ke Hospital Selayang untuk bedah siasat.

Katanya, kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Beliau meminta orang ramai yang melihat atau mempunyai maklumat mengenai kejadian untuk tampil membantu siasatan dengan menghubungi Pegawai Penyiasat Trafik, Inspektor K Pavinar di talian 017-4424699 atau Bilik Gerakan Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Gombak di talian 03-61262222.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini