Oleh: Ridhwan Rusydi Azri Roslan
PETALING JAYA: Seorang anggota RELA meninggal dunia ketika dalam perbarisan Majlis Sambutan Hari Kemerdekaan 2023 peringkat Negeri Sembilan, pagi tadi.
Ketua Polis Daerah Seremban, Asisten Komisioner Arifai Taware ketika dihubungi Buletin TV3 mengesahkan perkara berkenaan.
“Kami menerima panggilan dari Jabatan Kecemasan Hospital Tuanku Jaafar mengenai satu kematian pada jam 12.25 tengah hari.
“Siasatan awal mendapati, mangsa berusia 53 tahun telah jatuh dan tidak sedarkan diri semasa perbarisan lintas hormat di Dataran Seremban kira-kira jam 10 pagi.
Seorang anggota RELA meninggal dunia ketika dalam perbarisan Majlis Sambutan Hari Kemerdekaan 2023 peringkat Negeri Sembilan, pagi tadi. pic.twitter.com/I0I14E9Hi8
— Buletin TV3 (@BuletinTV3) August 31, 2023
Mengulas lanjut, hasil bedah siasat di Jabatan Forensik Hospital Tuanku Jaafar mendapati punca kematian disebabkan oleh serangan jantung.
“Hasil bedah siasat menyatakan sebab kematian berpunca masalah jantung (Coronary Artery Occlusion).”
“Pemeriksaan pada tubuh mangsa mendapati, tiada sebarang unsur jenayah dikesan,” katanya.
Kes diklasifikasikan sebagai kes mati mengejut (SDR).
Terdahulu tular di media sosial video berdurasi yang menunjukkan seorang anggota RELA rebah semasa perbarisan lintas hormat sempena hari kebangsaan peringkat Negeri Sembilan.