Tumpuan :
Nasional

Anggota polis tanpa kemudahan perumahan bakal ditempatkan di kuarters KPM

Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail ketika berucap di Perhimpunan Bulanan Kementerian Dalam Negeri di Putrajaya. – FOOT: NSTP

Oleh: Wan Zairul Azri Wan Mohammad Sudin

PUTRAJAYA: Kira-kira 9,000 anggota polis yang masih tidak memiliki kemudahan kediaman kerajaan akan ditempatkan di kuarters milik Kementerian Pendidikan (KPM) yang kosong.

Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata, perbincangan sedang dijalankan dengan KPM berhubung perkara berkenaan dan menyasarkan ia dapat direalisasikan pada suku pertama tahun depan.

“Dalam (mesyuarat) Jemaah Menteri, diberitahu bahawa KPM ada 17,000 kuarters guru yang kosong, tak didiami. Di pihak polis pula, ada lebih kurang 9,000 anggota masih tak cukup kuarters.

“Anggota polis tak cukup kuarters 9,000 (anggota), kuarters KPM kosong, tak diduduki (sebanyak) 17,000 (unit), jadi apa tindakan yang betul sebenarnya? Tindakan yang betul adalah bincang dengan KPM, boleh atau tidak lebihan kuarters yang tak diduduki itu, didiami anggota polis,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Perhimpunan Bulanan Kementerian Dalam Negeri (KDN), di sini hari ini.

Sebelum ini, Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek menerusi jawapan bertulis di Parlimen memaklumkan, KPM menawarkan kepada agensi kerajaan lain untuk menduduki kuarters guru yang tidak berpenghuni untuk memanfaatkan semula kemudahan itu.

Beliau dilaporkan berkata, ia langkah dilakukan pihaknya, antaranya terhadap kuarters rumah guru bertingkat di Sekolah Kebangsaan (SK) Utan Aji dekat Kangar, Perlis yang tidak berpenghuni.

Mengulas lanjut, Saifuddin Nasution berkata, pihaknya sedia mencari peruntukan bagi menampung kos membaik pulih kuarters terbabit supaya ia sesuai didiami oleh anggota polis serta keluarga mereka.

“(Soal) duit kita akan cuba cari tapi selesai masalah (isu polis tak cukup kuarters), bermaksud besar kesannya kepada seorang Konstabel Polis, Lans Korporal atau Sarjan kalau ada (kuarters ini), sangat besar kesannya kepada mereka,” katanya.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini