LIPIS: Seorang anggota polis berjaya menyelamatkan dua mangsa yang hampir lemas apabila kenderaan pacuan empat roda yang dinaiki mereka terbabas ke dalam parit di kilometer 4, Jalan Lipis ke Merapoh hari ini.
Ketua Polis Daerah Lipis, Supritenden Ismail Man berkata semasa pihak polis sampai di lokasi kejadian, kedua-dua mangsa berada dalam kenderaan yang hampir tenggelam.
Menurutnya, Sarjan Mohd Affendy Suhaimi telah turun untuk menyelamatkan dua mangsa yang hampir lemas itu.
“Sebelum beliau sampai di dalam parit, mangsa berjaya keluar dari kenderaan melalui cermin tingkap yang pecah.
“Dalam kejadian itu sebuah pacuan empat roda jenis Mitsubishi Triton terbabas di kilometer 4, Jalan Lipis ke Merapoh kira kira jam 8.30 pagi,” katanya.
Seorang anggota polis berjaya menyelamatkan dua mangsa yang hampir lemas apabila kenderaan pacuan empat roda yang dinaiki mereka terbabas ke dalam parit di kilometer 4, Jalan Lipis ke Merapoh hari ini. pic.twitter.com/EAxYllo68F
— Buletin TV3 (@BuletinTV3) November 4, 2024
Jelasnya, siasatan awal polis mendapati dua mangsa yang juga suami isteri itu dalam perjalanan dari Machang, Kelantan ke Selayang, Selangor untuk menghadiri mesyuarat.
Ismail berkata akibat kemalangan itu, pemandu, Chia Boon Tiong, 55, mengalami kecederaan luka kecil di bahagian tangan manakala penumpang, Kok Yit Long, 67, tidak mengalami kecederaan.
Kes disiasat dibawah Kaedah 10 LN 166/59 (Kaedah-Kaedah Lalu Lintas 1959).
Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.