Tumpuan :
Nasional

Anggota polis lemas akibat banjir tiada kaitan dengan tugasan, operasi

Ketua Pengarah Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA), Datuk Khairul Shahril Idrus.- Foto fail NSTP

KUALA LUMPUR: Anggota Polis Diraja Malaysia (PDRM) yang lemas di Felda Kerteh 3, Dungun, Terengganu baru-baru ni, tiada kaitan dengan tugasan atau operasi bencana.

Ketua Pengarah Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA), Datuk Khairul Shahril Idrus menjelaskan, prosedur operasi standard (SOP) berkaitan operasi bencana ditetapkan setiap agensi pihak berkuasa dengan komander operasi menentukan kaedah paling selamat bagi mengelak kejadian tidak diingini.

Katanya, SOP operasi ditetapkan oleh agensi masing-masing dan dikawal selia serta diselaraskan oleh Ketua Polis Daerah sebagai komander operasi bencana di setiap kawasan.

“Operasi akan dijalankan apabila komander operasi menentukan kaedah yang paling selamat operasi berkenaan dijalankan.

“Anggota PDRM yang terkorban semalam pula tiada kaitan langsung dengan tugasan ataupun operasi bencana yang beliau terbabit,” katanya ketika dihubungi Harian Metro hari ini.

Semalam, PDRM mengesahkan anggota polis ditemui lemas di ladang sawit di Felda Kerteh 3, Dungun.

Ketua Polis Terengganu Datuk Mohd Khairi Khairuddin dilaporkan berkata, mangsa, Wan Muhamad Firdaus Wan Nasir, 36, yang bertugas di Pusat Latihan Polis (PULAPOL) Dungun, dihanyutkan arus deras ketika melalui laluan ditenggelami banjir di ladang sawit terbabit dengan motosikal pada 5 pagi, Ahad lalu.

“Sebelum itu, dia bersama dua rakannya memasuki ladang sawit berkenaan untuk mengambil beg duitnya yang tertinggal di dalam raga motosikal yang terkandas semalaman akibat banjir,” katanya.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini