KUALA LUMPUR: Anggota yang enggan mengambil laporan polis akan berdepan tindakan disiplin.
Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Allaudeen Abdul Majid menegaskan tindakan itu tidak masuk akal dan perlu dihentikan.
“Keengganan mengambil laporan adalah salah laku amat serius. Kalau orang datang ke balai buat laporan apa sekali pun, ia perlu diterima oleh anggota bertugas dan seterusnya kes akan diklasifikasi oleh pegawai tertentu.
“Dalam kes ini, kita telah kenal pasti anggota yang enggan mengambil laporan dan Jabatan Integriti dan Pematuhan Standard (JIPS) KL juga sedang melakukan siasatan,” katanya pada sidang media selepas perhimpunan bulanan IPK Kuala Lumpur, hari ini.
Beliau mengulas tindakan anggota polis yang menolak untuk menerima laporan daripada seorang lelaki yang diperas ugut empat anggota polis, 4 Januari lalu.
Menurutnya, pihaknya tidak berkompromi dengan sebarang tindakan yang melanggar disiplin.
“Saya nak ingatkan semua IPD dan balai di Kuala Lumpur ini, hentikan tindakan yang tidak masuk akal ini.
“Tidak ada situasi pun untuk anda enggan menerima laporan,” katanya.
Ujarnya laporan polis yang dibuat akan diklasifikasikan mengikut peruntukan undang-undang sebelum tindakan selanjutnya diambil.
Sebelum ini media melaporkan polis mengesahkan menerima laporan kes pemerasan membabitkan empat anggota polis di hadapan Kompleks Pangsapuri, Kepong, di sini pada 4 Januari lalu.
Seorang lelaki tempatan mendakwa empat anggota polis meminta wang RM10,000 di parkir kompleks Pangsapuri Kepong pada 23 Disember lalu.