comscore
Tumpuan :
Nasional

Anggota polis disahkan terlibat kejadian tentera maut ditembak pemburu haram

BANDAR BAHARU: Anggota polis disahkan terbabit dalam kejadian seorang anggota tentera maut terkena tembakan ketika latihan di kawasan hutan berdekatan Song, Sarawak, pada 23 September lalu.

Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata, beliau dimaklumkan pihak polis mengenai kejadian itu ketika berkunjung ke Sarawak baru-baru ini.

Beliau berkata, Pesuruhjaya Polis Sarawak, Datuk Mancha Ata dalam taklimatnya, memaklumkan anggota polis terbabit disahkan melepaskan tembakan yang kemudian terkena anggota tentera dalam latihan.

“Insiden itu berlaku dalam kawasan latihan tentera dan ketika insiden itu dilaporkan berlaku, laporan polis dibuat dan polis segera membuat siasatan awal untuk mengesan yang terbabit.

“Daripada taklimat Pesuruhjaya Polis Sarawak, disahkan terbabitnya seorang anggota polis dan kertas siasatan dibuka membabitkan kes itu,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas Program Sua Mesra dan Sambutan Hari Pendaftaran Negara ke-76 di Sekolah Kebangsaan (SK) Permatang Pasir di sini, hari ini.

Media sebelum ini melaporkan, Polis Sarawak berjaya menahan dua suspek tempatan berusia 31 tahun bagi membantu siasatan kes kejadian anggota tentera maut ditembak di Song pada 23 September lalu.

Mancha dilaporkan berkata, hasil maklumat awam, suspek ditahan jam 6 petang, 24 September oleh pasukan khas yang ditubuhkan untuk menyiasat kes ini.

Polis turut merampas selaras senapang patah dan peluru jenis penabur dan kes disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

| ARTIKEL BERKAITAN

Loading...
Terkini