GUA MUSANG: Anggota polis bantuan Felda meninggal dunia apabila motosikal ditunggangnya hilang kawalan sebelum merempuh sebuah kereta di Jalan Paloh-Aring, dekat Paloh 4, di sini, jam 11 malam semalam.
Mohd Radzi Ab Hamid, 36, dari Kampung Kolam Mas meninggal dunia di lokasi akibat kecederaan parah.
Ketua Polis Daerah Gua Musang Superintendan Sik Choon Foo berkata, ketika kejadian, mangsa menunggang Honda RS dari arah Felda Aring menghala ke Paloh.
“Tiba di lokasi, mangsa yang melalui selekoh dipercayai hilang kawalan sebelum termasuk ke laluan bertentangan.
“Jarak terlalu dekat menyebabkan pemandu Proton Wira berusia 28 tahun terlanggar bahagian hadapan motosikal.
“Mayat dibawa ke Hospital Gua Musang untuk bedah siasat,” katanya pada kenyataan, hari ini.
Pemandu kereta berkenaan pula cedera ringan dan dibawa ke Klinik Kesihatan Chiku 3 untuk rawatan awal.
Kes disiasat mengikut Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 kerana memandu secara tidak cermat sehingga menyebabkan kemalangan.
Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.