comscore
Tumpuan :
Nasional

Anggota, pegawai MALBATT di Lubnan ditempatkan di kawasan selamat – Adly Zahari

Timbalan Menteri Pertahanan, Adly Zahari menyampaikan sumbangan Bakul Rahmah kepada veteran ATM sempena Program Santuni MADANI peringkat negeri di Masjid Raudhatul Jannah, Bukit Katil, hari ini. FOTO: NSTP

MELAKA: Semua 900 anggota dan pegawai Pasukan Batalion Malaysia (MALBATT) 850-11 yang bertugas di Lubnan kini ditempatkan di kawasan selamat yang terletak 50 kilometer (km) daripada lokasi pertempuran.

Timbalan Menteri Pertahanan, Adly Zahari, berkata langkah itu sebagai usaha untuk memastikan keselamatan semua anggota serta pegawai bertugas di negara bergolak itu sentiasa terjamin.

“Buat masa ini anggota kita ditempatkan di kem yang terletak sekitar 50 km dari sempadan kawasan pertempuran. Kita hanya menunggu arahan dari semasa ke semasa daripada Pasukan Interim Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNIFIL) dan dalam masa sama, kita sentiasa memantau rapat keadaan semasa yang berlaku di sana.

“Kita sentiasa berhubung dengan anggota di sana dan meletakkan keselamatan mereka sebagai keutamaan,” katanya selepas merasmikan Program Santuni MADANI peringkat negeri di Masjid Raudhatul Jannah, Bukit Katil di sini, hari ini.

Yang turut hadir, Ketua Pengarah Jabatan Hal Ehwal Veteran Angkatan Tentera Malaysia (ATM), Mejar Jeneral Datuk Semaon Marjuki; Datuk Bandar Majlis Bandaraya Melaka Bersejarah (MBMB), Datuk Shadan Othman; Yang Dipertua Majlis Perbandaran Hang Tuah Jaya (MPHTJ), Datin Sapiah Haron dan Komander Rejimen 514 Askar Wataniah, Brig Jen Datuk Yusof Jantan.

Jumaat lalu, Menteri Luar Indonesia, Retno Marsudi mengesahkan dua anggota pengaman mereka cedera ringan akibat tembakan kereta kebal Pasukan Pertahanan Israel (IDF) ketika mereka sedang memantau dari menara pengawal di pangkalan kontinjen Indonesia di Naqoura, Khamis lalu.

FOTO: NSTP

Kawasan itu dikenali sebagai ‘blue line’, dipantau pengaman Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) di bawah mandat Majlis Keselamatan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNSC) yang bertujuan mengekalkan kestabilan di Lubnan.

Sementara itu, Adly yang juga Ahli Parlimen Alor Gajah dan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bukit Katil, berkata Kementerian Pertahanan (MINDEF) masih menunggu keputusan UNIFIL sama ada pasukan MALBATT perlu keluar dari Lubnan atau sebaliknya.

“MALBATT adalah sebahagian daripada pasukan pengaman, walaupun kita tahu bahawa kawasan itu memang menghadapi konflik buat masa ini, tetapi kita kekal melaksanakan tanggungjawab seperti yang diarahkan PBB.

“Kita masih kekal di posisi masing-masing cuma ada sedikit pembaharuan dari segi tugasan, mungkin ada sebahagiannya masih bertugas di lokasi serangan, namun buat masa ini segala operasi pertahanan sudah dihentikan berdasarkan perbincangan kita dengan UNIFIL kerana yang paling penting bagi kita adalah keselamatan semua anggota kita di sana,” katanya.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini