Tumpuan :
Nasional

Anggota bomba sedih ketika padam kebakaran rumah pusaka keluarganya

Rumah pusaka Pegawai Bomba, Cliverenno Melikim yang musnah terbakar di Kampung Kuala Sapi, Beluran. FOTO Ihsan Bomba

BELURAN: Seorang anggota bomba tidak dapat menahan sedih ketika memadam kebakaran rumah pusaka milik keluarganya berusia lebih 40 tahun di Kampung Kuala Sapi di sini, awal pagi tadi.

Dalam kejadian itu, iparnya berusia 35 tahun cedera ringan melecur di bahagian tangan ketika menyelamat diri bersama tiga ahli keluarga yang lain.

Pegawai Bomba (PB) Cliverenno Melikim berkata, sedih dan terkilan melihat sendiri rumah pusaka peninggalan mendiang datuknya musnah.

Katanya, ketika kejadian, beliau sedang bertugas di Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Beluran dan terkejut selepas menerima panggilan pada jam 2.29 pagi.

“Saya terkejut namun kuatkan semangat untuk bergerak ke lokasi terletak kira-kira 26 kilometer dari balai.

“Setiba di lokasi, rumah pusaka musnah terbakar. Amat sedih dan terkilan namun rakan sekerja memberi semangat sebelum kami mengatur gerak operasi pemadaman kebakaran,” katanya ketika dihubungi, hari ini.

Menurutnya, ketika kejadian, ipar bersama dua anak dan anak saudara berada di rumah dan mereka sempat menyelamatkan diri dengan terjun melalui tingkap rumah.

“Ipar saya mengalami cedera ringan melecur di bahagian tangan,” katanya.

Cliverenno berkata, rumah berkenaan didirikan datuknya sebelum diserahkan kepada ibunya, dan dia dibesarkan di rumah itu.

Sementara itu, Ketua BBP Beluran, Penolong Penguasa Bomba, Edoen Macheal berkata, sebuah jentera serta 11 anggota digerakkan ke lokasi sebaik menerima panggilan.

Katanya, kebakaran dapat dikawal pada 3.58 pagi dan operasi ditamatkan jam 6.25 pagi.

“Terdapat seorang mangsa wanita cedera ringan dan diberi rawatan awal oleh anggota bomba.

“Rumah yang terbakar adalah milik pusaka seorang anggota bomba. Punca kebakaran dan jumlah kerugian masih dalam siasatan,” katanya.

Loading...
Terkini