PETALING JAYA: Sekali pandang, rupanya tidak ubah seperti seekor sotong.
Namun, tiada siapa menyangka, organisma marin ini mempunyai ekor yang sangat tajam dan berbahaya.
Jika terkena kulit manusia, ia boleh menyebabkan kemerahan, bersisik atau keradangan.
Awal Jun tahun ini, negara digemparkan dengan kehadiran Petropoda atau nama saintifiknya creseis acicula di kawasan perairan Mersing.
Daerah Mersing di Johor yang terkenal sebagai pintu masuk ke beberapa pulau pelancongan seperti Pulau Tengah dan Pulau Tenggol, menjadi lokasi ribuan pengunjung untuk bercuti.
Khuatir dengan kehadiran Petropoda ini, notis amaran dikeluarkan pihak berkuasa agar pengunjung yang beriadah di Taman Laut Johor mengambil langkah berhati-hati.
Menurut Ketua Cawangan Konservasi dan Perlindungan Perikanan Johor, Muhammad Irfan Dr Ahmad Hanizar, Petropoda ini berbentuk seperti rama-rama yang terbang di dalam air.
“Namun, paling yang kita risau adalah apabila hidupan tersebut memasuki rongga badan, jika kita tidak memakai mask atau lengan panjang dan sebagainya,” katanya dalam program Majalah 3.
Seorang penyelidik dari Konservasi Pulau Tengah, Alzam Mohd Affandy turut menceritakan pengalamannya disengat Petropoda ketika berenang di pantai sebuah resort di Pulau Tengah Mersing.
Menurutnya, walaupun pernah menemui organisma seperti itu di perairan negeri kelahirannya di Sabah, namun ini adalah kali pertama ia dikesan di perairan Mersing.
“Saya dengan pasukan saya ada berenang di kawasan ini. Pada ketika itu, kami berenang kami berasa gatal.
“Namun, selepas itu kami naik ke pantai, kami jumpa di pakaian kami macam benda-benda yang tajam macam kemuncup, tapi warna dia lutsinar.
“Ertinya kena cucuklah dengan benda itu. Spesies creseis acicula ini dia tidak ada di Mersing, sepanjang 6 tahun saya kerja di sini, saya tidak pernah jumpa lagilah,” menurutnya lagi.
Perubahan angin monsun dan aktiviti ‘ballast tank’ dilakukan kapal dikenal pasti antara faktor serangan organisma seni ini.
Tindakan berhati-hati ketika melakukan sebarang aktiviti di laut kini turut diambil oleh operator aktiviti rekreasi air seperti selaman skuba dan snorkeling.
Pengusaha bot, Zarul Nizam Kamarul juga kini terpaksa lebih berhati-hati ketika memilih tapak bagi tetamunya menjalankan aktiviti.
“Bila sampai ke tempat itu, boat man akan terjun dahulu untuk pastikan sama ada benda (Petropoda) itu ada lagi atau pun sudah tiada. Kalau rasa selamat, barulah pelancong akan turun,” menurut Zarul.
Berikutan ancaman Petropoda ini, pemantauan kualiti air di sekitar taman laut dan perairan Mersing telah dipertingkat.
Selain pengambilan sampel air dan bacaan suhu air laut, pemeriksaan secara berkala turut dilakukan di kawasan dengan kehadiran Petropoda dilaporkan.
Selain itu, Majalah 3 minggu ini turut memaparkan kemeriahan suasana kulinari di Kampung Baru ibu negara, yang menarik ratusan warga kota khususnya penggemar makanan tempatan berkunjung setiap hari.
Bagi salah seorang peniaga makanan di sini, dia perlu sentiasa kreatif dan inovatif dalam menghasilkan juadah untuk dijual.
Bagi memenuhi permintaan pelanggan, Abdul Malik yang telah berkecimpung dalam perniagaan menjual kuih tradisi Pantai Timur, akok selama 14 tahun, telah memperkenalkan satu menu baharu iaitu akok durian sejak 2021.
Ketibaan musim Raja Buah memberi ilham dan cetusan idea kepada beliau untuk menggunakan baka durian premium seperti IOI, Musang King dan Black Thorn dalam pembuatan kuih akoknya.
“Pada permulaan, saya menggunakan isi durian sahaja. Tapi, saya rasa tidam puas sehinggalah saya beli durian Musang King, IOI, durian yang gred A untuk dipersembahkan kepada pelanggan,” katanya.
Walaupun kuih akoknya dijual pada harga RM5 sebiji, ternyata keputusan menggunakan durian premium itu menjadi satu percubaan yang menguntungkan buatnya, apabila jualan harian akok durian ini amat memberangsangkan.
Untuk mengetahui lebih lanjut episod ‘Organisma Seni Petropoda’ dan ‘Akok Durian’, saksikan Majalah 3 pada jam 9 malam ini di TV3.
Langgan TontonUp untuk eksklusif episod penuh Majalah 3 di Tonton.
Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.