KUALA LUMPUR: Kementerian Kesihatan (KKM) sentiasa bersedia berdepan apa saja kemungkinan pandemik yang akan berlaku pada masa depan, termasuk ancaman yang dinamakan penyakit X.
Menterinya, Dr Zaliha Mustafa berkata, KKM sentiasa membuat pemantauan bagi mengesan sebarang penyakit baharu yang muncul, selain Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) yang turut memberikan amaran.
“Ia dinamakan X kerana kita tidak tahu penyakit apa tetapi kita di KKM sentiasa bersedia atas apa saja kemungkinan.
“Kita ada pemantauan dan pengawasan jika ada apa-apa kemungkinan penyakit baharu yang mungkin boleh menyebabkan pandemik pada masa depan,” katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang media selepas Majlis Penyerahan Projek Kompleks Dewan Bedah, Unit Rawatan Rapi (ICU) dan Wad Tambahan Hospital Kuala Lumpur (HKL) di sini, hari ini. Yang turut hadir, Menteri Kerja Raya, Datuk Seri Alexander Nanta Linggi.
Semalam, media melaporkan, pakar kesihatan global percaya ancaman pandemik besar seterusnya semakin hampir dan boleh meragut sehingga jutaan nyawa berbanding COVID-19.
Ia digelar sebagai penyakit X oleh WHO, yang dijangka boleh berlaku pada bila-bila masa.
Justeru, WHO menyarankan penyediaan segera vaksin sebagai tindak balas cepat selepas dunia berada pada situasi ‘tidak bersedia’ ketika menghadapi COVID-19 pada awal 2020.