Tumpuan :
Nasional

Ancaman pencerobohan nelayan asing diberi perhatian serius bagi kekang kesan jenayah berantai

Lebih 5,000 nelayan dan 500 bot asing ditahan dalam usah kerajaan mengekang pencerobohan nelayan asing.

KUALA LUMPUR: Isu pencerobohan nelayan asing di perairan negara diberi perhatian serius dan kerajaan sedang bertindak menangani jenayah itu yang dikhuatiri membawa kesan rantaian serta berisiko mengundang jenayah serius lain.

Untuk itu, Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail memberi jaminan, kerajaan sedang melaksanakan tindakan bagi mengatasi semua isu dan ancaman berkenaan, antaranya menerusi penguatkuasaan berterusan, penambahbaikan aset serta perbincangan antara kerajaan (G2G) dengan negara jiran.

Beliau berkata, kerajaan amat menyedari ancaman pencerobohan nelayan asing, yang turut menyebabkan negara terdedah jenayah penyeludupan dadah, barangan, pemerdagangan manusia, lanun dan kerosakan alam sekitar.

“Saya baru balik dari Bangkok, Thailand selepas mengadakan pertemuan dengan Perdana Menteri Thailand, Prayut Chan-o-cha dan isu ini turut disinggung.

“Ini kerana pencerobohan nelayan asing dalam wilayah kita akan mengundang ketegangan hubungan diplomatik kalau tak kena cara, jadi kami bincang langkah yang perlu dibuat.

“Kerajaan sangat sedar jika tak dikawal isu pencerobohan nelayan asing, kita akan terdedah pada aktiviti jenayah lain seperti penyeludupan dadah, pemerdagangan manusia, penyeludupan barangan, lanun dan kerosakan alam sekitar akibat ‘over fishing’ (tangkapan hasil laut berlebihan).

“Itu semua dalam radar tindakan kerajaan,” katanya ketika sesi jawab lisan di Dewan Rakyat, hari ini.

Beliau berkata demikian menjawab soalan tambahan Datuk Ahmad Marzuk Shaary (PN-Pengkalan Chepa) yang bertanyakan sama ada kerajaan akan bertindak di luar kebiasaan bagi mengatasi isu pencerobohan nelayan asing, yang membawa ancaman pelbagai jenayah serius lain.

Berhubung soalan asal Ahmad Marzuk mengenai tindakan terhadap pencerobohan nelayan Vietnam, Saifuddin memaklumkan pihak berkuasa melaksanakan pelbagai operasi dengan lebih 5,000 nelayan dan 500 bot asing ditahan.

Antaranya melalui Operasi Naga yang dilaksanakan secara bersepadu membabitkan Kementerian Pertahanan (MINDEF), Jabatan Perdana Menteri (JPM), Kementerian Pertanian dan Industri Makanan (MAFI) serta Kementerian Dalam Negeri (KDN).

“Seluruh agensi kawal selia ini melakukan operasi dan hasilnya 48,000 pemeriksaan dilakukan, 280 bot nelayan Vietnam ditangkap dan 3,240 krew nelayan ditahan.

“Selain itu, Ops Kuda Laut membabitkan Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) yang membanteras pencerobohan bot nelayan asing dan setakat Disember tahun lalu, 223 bot nelayan asing ditahan dan 2,264 krew ditangkap,” katanya.

Mengenai soalan tambahan Datuk Mohd Shahar Abdullah (BN-Paya Besar) berkaitan kesiapsiagaan aset, Saifuddin memaklumkan Maritim Malaysia mempunyai rancangan jangka pendek, sederhana dan panjang untuk meningkatkan keupayaan aset.

“Buat masa sekarang, Maritim Malaysia ada aset laut dan udara. Permohonan radar ada dibuat ketika Rolling Plan Kedua dan Ketiga, tetapi setakat ini belum berjaya. Tapi kami akan terus pohon.

“Namun, dengan keupayaan aset semasa pun Maritim Malaysia menunjukkan keupayaan sangat cemerlang apabila merekodkan 300,000 pemeriksaan kapal keseluruhan secara fizikal sepanjang tahun lalu, bukan nelayan saja,” katanya.-BERITA HARIAN

Loading...
Terkini