comscore
Tumpuan :
Nasional

Ancaman keselamatan siber negara meningkat

Oleh Ridhwan Rusydi Azri Roslan

PETALING JAYA: Jumlah ancaman keselamatan siber di Malaysia meningkat sejak beberapa tahun ini, terutamanya dari segi kekerapan dan keseriusan serangan.

Menurut Timbalan Menteri Komunikasi dan Digital, Teo Nie Ching, setakat tahun lalu, negara telah mengalami sejumlah serangan siber yang serius termasuk dari segi serangan perisian tebusan, percubaan pengintipan siber, kebocoran data dan penipuan siber.

Katanya, berdasarkan kepada statistik yang diberikan oleh Cyber ​​​​Security Malaysia (CSM), negara mencatatkan 4,741 kes ancaman siber pada tahun lalu, manakala sehingga Februari tahun ini, sebanyak 456 kes penipuan telah direkodkan.

“Bagi Januari dan Februari tahun ini, Pusat Respons Scam Kebangsaan (NSRC) menerima sejumlah 3,482 panggilan tulen yang merekodkan kerugian hampir RM27 juta,” katanya selepas pelancaran kempen keselamatan siber #BeCyberSmart, dan PROTECT 360, sebuah aplikasi penyelesaian keselamatan rangkaian semua-dalam-satu, hari ini.

Kempen tersebut akan menampilkan pelbagai inisiatif termasuk libat urus dalam mendekati rakyat dan mempromosikan cara terbaik bagi memastikan keselamatan siber, selain mempromosikan PROTECT 360 iaitu aplikasi yang memberi keselamatan menyeluruh, dan melindungi pengguna terhadap pelbagai ancaman dalam talian, termasuk perisian hasad (malware), pancingan data (phishing) dan cubaan penggodaman.

Teo berkata, NSRC yang ditubuhkan pada Oktober lalu dijadikan sebagai pusat arahan untuk menyelaraskan respons pantas bagi kes penipuan kewangan dalam talian dan telah pun menerima lebih 4,000 panggilan setiap bulan walaupun ada daripadanya merupakan panggilan palsu.

“Serangan siber boleh mendatangkan kesan yang sangat teruk kepada seseorang individu, perniagaan dan kerajaan, daripada kerugian kewangan hingga kepada pelanggaran maklumat peribadi serta gangguan perkhidmatan penting,” katanya.

Beliau berkata, Kerajaan Perpaduan mengakui kepentingan isu keselamatan siber dan jenayah siber, justeru sedang berusaha melaksanakan pelbagai inisiatif yang bertujuan melindungi rakyat dan keselamatan negara.

Menurutnya, komitmen itu dicerminkan melalui Belanjawan 2023 apabila RM10 juta diperuntukkan kepada NSRC untuk menaik taraf peralatan dan memulakan kempen kesedaran serta mempromosikan talian hotline 997.

Loading...
Terkini