comscore
Tumpuan :
Nasional

[VIDEO] Ancaman gajah liar, penduduk Orang Asli Pos Lebir bimbang keselamatan

GUA MUSANG: Kemunculan seekor gajah betina dewasa bersama anaknya yang berkeliaran di dalam kawasan perkampungan Orang Asli Kampung Aring, Pos Lebir di sini sejak seminggu lalu mencetuskan kebimbangan penduduk setempat.

Penduduk mendakwa setakat ini, gajah itu sudah merosakkan empat buah rumah buluh pada waktu malam.

Dalam kejadian Khamis lalu, Penghulu Kampung Aring 5, Pos Lebir, Raina Anjang, berkata, seorang penduduk menyedari kehadiran gajah liar terbabit apabila terdengar bunyi bising pada jam 8 malam berhampiran rumahnya.

Penduduk terbabit yang terkejut dengan kemunculan gajah liar di tepi rumahnya itu bertindak membawa lima anak bersama isteri ke rumah batu saudaranya yang tinggal berhampiran untuk menyelamatkan diri.

“Kejadian gajah merosakkan rumah buluh penduduk adalah kali kadua gajah terbabit masuk ke perkampungan, kali pertama pada Rabu minggu lalu.

“Kami penduduk kampung bertindak menghalau gajah terbabit dan semasa dia merosakkan rumah buluh kami nampak gajah itu mengambil makanan iaitu nasi dan garam.

“Kali ketiga gajah terbabit masuk, haiwan itu membawa bersama seekor anak dan kami percaya dia beranak di dalam kebun kami,” katanya ketika ditemui di Kampung Aring 5, Pos Lebir, di sini.

Raina berkata penduduk kampung kini berada dalam ketakutan untuk keluar mencari buah durian pada waktu malam kerana bimbangkan keselamatan mereka.

“Malah kami terpaksa berjaga malam untuk menghalau gajah terbabit daripada menggangu rumah penduduk dan sejak kemunculan haiwan liar itu kami tidak tidur lena kerana bimbangkan keselamatan.

“Di kawasan ini masih ramai penduduk yang tinggal di rumah buluh dan kini terpaksa tinggal di rumah batu dengan menumpang rumah saudara mara kerana takut gajah akan merosakkan rumah mereka,” katanya.

Manakala menurut Rahim Hek, 30, bukan sahaja pada waktu malam,malah pada waktu siang penduduk masih takut untuk keluar bersendirian bagi mengutip durian keran bimbang terserempak haiwan liar itu.

“Saya baru pulang dari kebun yang jaraknya hanya 500 meter dari kampung ini dan nampak gajah terbabit sedang tidur, hanya sebiji durian saya mampu kutip dan terus pulang kerana bimbang akan keselamatan.

“Masalah ini sudah pun kami adukan kepada pihak Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (PERHILITAN) dan mereka sudah masuk ke kampung ini untuk memantau dan melihat gajah terbabit.

“Jadi saya harap tindakan segera dapat diambil untuk menghalau atau memindahkan gajah terbabit. Kami juga risau akan keselamatan kami tambahan pula gajah itu membawa bersama anaknya,” katanya.

Sementara itu, Pengarah PERHILITAN Kelantan, Mohamad Hafid Rohani, berkata anggota PERHILITAN Gua Musang akan membuat pemantauan serta kawalan di dalam kampung terbabit bagi mengelakkan sebarang kejadian yang tidak diingini berlaku kerana gajah liar itu membawa anak kecil dan tidak mahu bergerak ke kawasan hutan.

Katanya, pihaknya juga sudah menembak halau gajah terbabit dan menasihatkan penduduk tidak membuat provokasi terhadap haiwan liar itu.

“Selain itu kami juga menyarankan penduduk membuat unggun api dan membakar tayar di tepi rumah serta memasang diod pemancar cahaya (LED) biru untuk menghalau gajah,” katanya.

Loading...
Terkini