KUALA LUMPUR: Mendiang Pengerusi Usaha Tegas Sdn Bhd, Tan Sri Ananda Krishnan Tatparanandam, selamat disemadikan di Krematorium Loke Yew pada tengah hari tadi.
Menurut laporan media, perarakan pengebumian bermula dari kediamannya di Brickfields pada jam 9.45 pagi, selepas upacara keagamaan Hindu.
Majlis berkenaan dihadiri kira-kira 100 ahli keluarga dan rakan terdekat, termasuk bekas Menteri Pengangkutan, Tun Dr Ling Liong Sik.
Semalam, orang ramai daripada pelbagai lapisan masyarakat berkumpul sebagai tanda penghormatan terakhir kepada mendiang tokoh perniagaan itu seawal jam 2 petang.
Namun, atas permintaan keluarga Ananda, pihak media tidak dibenarkan masuk ke dalam kawasan majlis, sebagai tanda rendah diri dan menghormati privasi mereka.
Ananda, yang dikenali dengan sikap merendah diri, telah membina pelbagai empayar perniagaan meliputi bidang telekomunikasi, media dan tenaga melalui syarikatnya, Usaha Tegas.
Selain kepakaran dalam dunia perniagaan, mendiang juga amat komited terhadap kerja kebajikan.
Aktiviti amal beliau telah menyediakan biasiswa dan bantuan kepada ramai individu, mencerminkan dedikasi beliau untuk meningkatkan kesejahteraan masyarakat.
Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.