Tumpuan :
Nasional

Analisis dapati beras putih tempatan dicampur dalam beras Import – MARDI

Petugas MARDI mengagihkan butir beras bagi proses mengenal pasti beras tempatan dan beras import melalui teknologi pencapjarian (DNA). – Foto: NSTP

Oleh: Vinsla Santiran

SERDANG: Sekitar 40 hingga 50 peratus kampit beras yang dianalisis menunjukkan berlakunya percampuran antara beras import dan beras putih tempatan.

Pengarah Pusat Bioteknologi & Nanoteknologi (BN) Institut Penyelidikan dan Kemajuan Pertanian Malaysia (MARDI), Dr. Zamharir Ahmad berkata, analisis yang menggunakan teknologi pencapjarian asid deoksiribonukleik (DNA) beras itu dijalankan pada tahun 2023 dan 2024.

“Kami menerima sampel beras ini daripada pihak berkuasa iaitu Pejabat Kawal Selia Padi dan Beras dan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) yang diambil daripada pengilang untuk menjalankan analisis bagi mengenal pasti varieti beras berkenaan,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam satu sidang media yang diadakan di MARDI, hari ini.

Selain itu, Pegawai Penyelidik Kanan, Pusat Penyelidikan Bioteknologi dan Nanoteknologi, MARDI, Mohd Shahril Firdaus Ab Razak berkata, pusat penyelidikan itu mempunyai profil rujukan capjari DNA bagi kebanyakan tanaman termasuk lebih 50 varieti padi yang telah diisytiharkan.

“Setiap sampel beras di dalam kampit dibahagi kepada tiga bahagian iaitu atas, tengah dan bawah dan diambil secara rawak. Ia kemudiannya akan melalui proses pengekstrakan DNA dan pengenotipan,” katanya.

Mohd Shahril menjelaskan, pada masa ini tiada akta yang jelas berkaitan percampuran beras putih tempatan dan beras import dibawah kawal selia padi dan beras.

“Pusat penyelidikan bersama pihak penguatkuasa dibawah KPKM sedang membincang peraturan baharu berkaitan isu ini,” katanya.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini