KUANTAN: Salah satu saluran darah tersumbat dan jantung dalam keadaan lemah menyebabkan anak bongsu pasangan yang maut dalam kemalangan membabitkan lima kenderaan termasuk lori di Kilometer (KM) 46 Kampung Selamat, Sungai Tong, Setiu, Terengganu, semalam, terpaksa ditidurkan.
Menurut salah seorang anak saudara pasangan terbabit, Nur Shafira Nadia Muhamad, 36, Muhammad Daniel Dzulkarnain Faizul Azman, 13, kini sedang dirawat di Hospital Setiu, Terengganu.
“Dia turut mengalami retak tulang punggung dan patah di bahagian leher,” katanya ketika ditemui selepas pengebumian suami isteri berkenaan, di Tanah Perkuburan Islam Balok, di sini, hari ini.
Dalam kejadian kira-kira 1.30 tengah hari itu, Faizul Azman Awang, 43, dan isterinya, Habsah Ismail, 42, meninggal dunia di tempat kejadian, sementara anak mereka, Muhammad Daniel Dzulkarnain, 13, cedera parah.
Arwah meninggalkan tiga anak iaitu Nur Hafyza Elyana, 22, Nur Farysya Eryany, 19, dan Muhammad Daniel.
Kemalangan berlaku ketika mereka sekeluarga dalam perjalanan pulang dari melawat ahli keluarga yang meninggal dunia di Kuala Besut, Terengganu.
Nur Shafira Nadia berkata, kali terakhir dia berhubung dengan arwah ibu saudaranya itu kira-kira jam 11 pagi hari kejadian sebelum mesej yang dihantar melalui WhatsApp tidak berbalas.
“Dia sempat bergurau ketika berbalas WhatsApp dan mesej terakhirnya memberitahu semua saudara mara ada berkumpul kecuali saya.
“Sebenarnya dia ada mempelawa saya pergi ke Kuala Besut menaiki keretanya tetapi saya terpaksa menolak kerana bercadang mahu pergi bersama suami.
“Saya tidak menyangka mesej itu menjadi perbualan kami yang terakhir,” katanya.
Menurutnya, buat masa ini, tiga anak pasangan itu akan tinggal bersama ahli keluarga terdekat kerana kebanyakan mereka tinggal di kawasan berdekatan.
Terdahulu, jenazah pasangan terbabit dikebumikan secara bersebelahan dan pengebumiannya selesai kira-kira jam 9.30 pagi serta dihadiri kira-kira 500 orang termasuk ahli keluarga, saudara mara dan rakan-rakan.