Oleh: Rusyaidi Hafiz Shahid
SEPANG: Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail, menegaskan bahawa anaknya tidak akan terlepas daripada tindakan undang-undang sekiranya didapati terlibat dalam kes ugutan jenayah seperti yang dilaporkan.
Beliau menekankan bahawa siasatan terhadap kes tersebut sepenuhnya diserahkan kepada pihak polis.
“Anak saya tidak kebal undang-undang. Jika ada laporan ke atasnya, adalah tanggungjawab polis untuk menjalankan siasatan secara telus dan adil.
“Merujuk kenyataan Ketua Polis Negara (KPN), kertas siasatan telah disempurnakan dan diserahkan kepada Pejabat Peguam Negara. Biarkan proses berjalan, kerana prinsip saya adalah tiada siapa, termasuk anak saya, berada di atas undang-undang,” katanya.
Beliau berkata demikian semasa menghadiri sesi tinjauan sistem MyBorderPass di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) Terminal 1.
Sebelum ini, Ketua Polis Negara, Tan Sri Razarudin Husain mengesahkan polis telah melengkapkan kertas siasatan kes ugutan jenayah melibatkan anak seorang menteri Kabinet.
“Kertas siasatan telah dihantar ke Pejabat Timbalan Pendakwa Raya (TPR) pada Isnin lalu untuk tindakan lanjut mengikut peruntukan undang-undang sedia ada,” katanya.
Menurut Razarudin, tindakan itu membuktikan bahawa Polis Diraja Malaysia (PDRM) tidak berkompromi atau melindungi mana-mana individu yang melanggar undang-undang.
Kes disiasat mengikut Seksyen 506 Kanun Keseksaan atas kesalahan ugutan jenayah.
Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.