Tumpuan :
Nasional

Anak saudara pelik, ibu saudara tidak pernah lalu Titi Haji Idris ke tempat kerja

Noor Shuhada DZulkifly, 28, menunjukkan gambar ibu saudaranya, Siti Rohani Saad, 37, yang dilaporkan masih hilang namun motosikalnya ditemui di Sungai Titi Haji Idris, Kampung Alor Sekawan.- FOTO: NSTP

ALOR SETAR: Anak saudara kepada Siti Rohani Saad, 37, yang dikhuatiri lemas selepas motosikalnya ditemui di tebing Sungai Titi Haji Idris, Kampung Alor Sekawan mengakui pelik dengan laluan yang digunakan ibu saudaranya hari ini.

Menurut Noor Shuhada DZulkifly, 28, ibu saudaranya itu dipercayai dalam perjalanan ke tempat kerja di sebuah kedai makan di Alor Setar dengan menunggang motosikal seorang diri.

Namun katanya, dia menerima panggilan daripada majikan dan rakan sekerja ibu saudaranya itu pada jam 7.30 pagi yang memaklumkan mangsa tidak sampai lagi ke tempat kerja.

“Selalunya Maksu pergi kerja tak ikut laluan ini dari rumahnya di Kampung Kuala Lanjut kerana laluan di Jalan Titi Haji Idris ke tempat kerjanya di Jalan Pegawai lebih dekat.

“Kalau fikir secara logiknya, Maksu mungkin tak guna laluan ini pergi kerja pada jam 6 pagi kerana sunyi dan lebih baik dia gunakan laluan biasa.

“Saya tidak sedap hati dan minta mereka cari Maksu di sekitar Alor Setar manakala saya pula minta bantuan sepupu yang lain cari di sekitar kawasan ini.

 

“Namun saya terkejut apabila menerima WhatsApp kumpulan kampung yang memaklumkan penemuan motosikal Maksu, dan saya minta ahli keluarga datang ke sini untuk memeriksa nombor casis motosikal itu dan ternyata ia memang milik Maksu,” katanya ketika ditemui di lokasi pencarian mangsa di sini hari ini.

Noor Shuhada berkata, dia cuba menghubungi telefon bimbit ibu saudaranya itu berkali-kali tetapi gagal dan hanya masuk ke peti suara.

Katanya, mereka sekeluarga berharap mangsa ditemui segera dalam apa jua keadaan sekali pun.

Sementara itu, Ketua Zon 1 Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Kedah, Penguasa Kanan Bomba I Ahmad Aminuddin Abd Rahim berkata, pasukan Bomba turut berdepan cabaran disebabkan arus deras akibat hujan lebat berlaku di hulu.

Beliau berkata, operasi mencari dan menyelamat (SAR) dilakukan membabitkan sepasukan anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Jalan Raja dan Pasukan Penyelamat Di Air (PPDA) dari BBP Jitra serta Sungai Petani.

“Walaupun arus sungai agak laju petang ini namun anggota PPDA turut melakukan selaman beberapa kali selain kita akan melakukan pencarian antara lima hingga tujuh meter ke bawah menggunakan bot.

“Berdasarkan selaman yang dilakukan, bahagian dasar di tengah sungai ini kedalamannya kira-kira tujuh meter manakala bahagian tepi sungai pula kira-kira empat meter serta berselut.

“Selepas tujuh jam operasi pencarian dilakukan, belum ada sebarang petunjuk diperolehi dan kita akan teruskan pencarian bergantung pada keadaan cuaca dan sebagainya,” katanya.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Kota Setar, Asisten Komisioner Siti Nor Salawati Saad mengesahkan menerima laporan berhubung kejadian orang hilang yang membabitkan mangsa seorang wanita berusia 37 tahun.

Beliau berkata, bimbang dengan keselamatan mangsa, waris kemudian tampil ke Balai Polis Langgar untuk membuat laporan berkenaan kejadian itu.

“Berdasarkan laporan polis yang diterima pada jam 10.13 pagi, sepasukan Polis dari Balai Polis Langgar dan Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kota Setar digerakkan ke lokasi untuk siasatan awal.

“Siasatan di lokasi turut dibantu oleh sepasukan Bomba dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Alor Setar dan Angkatan Pertahanan Awam (APM) Kota Setar,” katanya.

Siti Nor Salawati berkata, setakat ini kes diklasifikasi sebagai Orang Hilang (OH) dan polis meminta kerjasama orang ramai yang mempunyai maklumat berkenaan kejadian untuk tampil memberi keterangan kepada pihak Polis Kota Setar dengan menghubungi Ketua Polis Balai Langgar Sarjan Mejar Ku Fauzi Ku Bakar di talian 011-5503352 atau talian Ibu Pejabat Polis Daerah Kota Setar 04-7747222.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini