Tumpuan :
Nasional

Anak polis bantuan, tukang jahit terima Anugerah Pelajaran Diraja UMPSA

Penerima Anugerah Pelajaran Diraja (Pingat Jaya Cemerlang) Choong Wai Kit (kanan) bersama Fatini Nasuha Ahmad Puad (kiri) sempena Majlis Konvokesyen Ke-19 UMPSA di Kampus Gambang UMPSA, Kuantan. FOTO NSTP

KUANTAN: Anak kepada polis bantuan dan tukang jahit bakal diumum sebagai penerima Anugerah Pelajaran Diraja (Pingat Jaya Cemerlang) pada Majlis Konvokesyen kali ke-19 Universiti Malaysia Pahang Al-Sultan Abdullah (UMPSA) di Dewan Kompleks Sukan Universiti, UMPSA Gambang, di sini esok.

Dua graduan universiti itu ialah Fatini Nasuha Ahmad Puad, 23, dari Shah Alam, Selangor dan Choong Wai Kit, 24, berasal dari Ipoh, Perak, akan menerima anugerah berkenaan daripada Tengku Mahkota Pahang, Tengku Hassanal Ibrahim Alam Shah yang juga Pro Canselor UMPSA.

Bagi Fatini Nasuha, dia bersyukur atas rezeki yang diberikan oleh Allah SWT berkat daripada sokongan daripada semua pihak termasuk ayah dan ibu,Ahmad Puad Mohd Isa, 60, dan Mulyani Munir, 58.

“Alhamdulillah, saya bersyukur dan anugerah ini bukan kejayaan saya seorang, malah dengan bantuan daripada pensyarah dan rakan dalam membantu sepanjang empat tahun di UMPSA.

“Sejujurnya pada tahun pertama memasuki pengajian ketika Perintah Kawalan Pergerakann (PKp) yang memerlukan membiasakan diri dalam keadaan pengajaran dan pembelajaran (PdP).

“Saya juga gembira sepanjang pengajian kerana turut aktif dalam aktiviti sukarelawan kerana bukan sahaja focus kepada pengajian tetapi lebih kepada membina sahsiah dan memperkasakan diri,” kata anak bongsu daripada tiga beradik itu.

Fatini Nasuha, pemegang Ijazah Sarjana Muda Teknologi Kejuruteraan Pembuatan (Farmaseutikal) dengan Kepujian Fakulti Teknologi Kejuruteraan Kimia dan Proses (FTKKP) ditemui selepas sidang media Majlis Konvokesyen UMPSA Ke-19 oleh Naib Canselor UMPSA Prof Datuk Dr Yuserrie Zainuddin, hari ini.

Wai Kit, pemegang Ijazah Sarjana Muda (Kepujian) Kejuruteraan Kimia dari FTKKP pula tidak menyangka diumumkan sebagai penerima anugerah berkenaan tetapi pada masa sama gembira dengan pencapaian itu.

Katanya, kejayaan itu juga daripada sokongan semua pihak terutama pensyarah dan rakan serta ibu, Yee Lai Shan, 52 serta kakak, Choong Wai Teng, 26.

“Ayah meninggal dunia sembilan tahun lalu dan saya bergantung sepenuhnya kepada ibu yang bekerja sebagai tukang jahit dan kakak yang turut membantu daripada segi kewangan,” katanya.

Sementara itu, Dr Yuserrie berkata, UMPSA bakal meraikan 5,115 graduan pada Majlis Konvokesyen Kali ke-19 UMPSA selama tiga hari bermula esok.

“Baginda akan bercemar menganugerahkan Gelaran Profesor Emeritus kepada Datuk Seri Dr Daing Nasir Ibrahim yang merupakan penganugerahan tertinggi akademik atas pelbagai sumbangan yang dicurahkan kepada universiti dan pendidikan tinggi negara.

“Dr Daing Nasir merupakan Naib Canselor UMPSA ketiga yang berkhidmat selama 11 dari 2008 hingga 2019.

“Ketokohan beliau terserlah apabila kini, Dr Daing Nasir dilantik sebagai Rektor di Oxus University, Uzbekistan yang menyaksikan kecemerlangan pentadbiran beliau memimpin di institusi terkemuka dalam memartabatkan pendidikan tinggi negara di dalam negara dan di peringkat antarabangsa.

“Baginda turut berkenan menyempurnakan penganugerahan ijazah dan anugerah kecemerlangan kepada 27 penerima ijazah sarjana, kedoktoran dan ijazah termasuk 64 penerima ijazah dual serta 21 penerima anugerah kecemerlangan,” katanya.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini