HULU TERENGGANU: Pengumuman cuti yang diberi sempena hari mengundi diambil kesempatan anak perantau untuk balik kampung menunaikan tanggungjawab mengundi esok di kawasan masing-masing.
Tinjauan Buletin TV3 di Plaza Tol Kuala Terengganu mendapati kesesakan hampir dua kilometer dan dijangka bertambah menjelang lewat petang dan malam ini.
Bagi seorang pekerja kilang dari Johor Bahru, Abdullah Idris dia berrsama dua lagi rakannya sanggup menunggang motor untuk balik mengundi di kampung mereka di Tanah Merah Kelantan.
“Saya dari Johor Bahru bertolak jam 10 malam tadi bersama tiga rakan yang lain mahu pulang ke Tanah Merah, kali ini mahu membuat pilihan yang terbaik demi negara untuk PRU-15”
Bagi Zamri Mohamad dari Kuala Lumpur, dia sanggup meredah kesesakan jalan raya sehingga mengambil masa 14 jam untuk sampai dikampung halaman di Besut.
Dia menganggap kesesakan kali ini lebih teruk dari semasa pulang berhari raya .
“Saya bertolak dari Kuala Lumpur jam 12 tengah malam tadi. Luar biasa kali ini. Hari raya pun tidak sesak seperti ini. Walaupun penat, hati rasa gembira dapat pulang laksanakan tanggungjawab sebagai pengundi”, ujarnya,