comscore
Tumpuan :
Nasional

Anak Penolong Pengarang Berita BH antara 3 pelajar UiTM Dungun maut dirempuh SUV

Tiga pelajar UiTM Dungun maut ditempuh SUV dipandu seorang wanita malam tadi.

DUNGUN: Salah seorang daripada tiga pelajar Universiti Teknologi Mara (UiTM) Dungun yang maut selepas motosikal yang mereka tunggang dirempuh sebuah SUV di hadapan universiti itu di Kampung Sura Hujung, di sini, malam tadi merupakan anak kepada Penolong Pengarang Berita, Berita Harian (BH).

Ku Adib Aizab Ku Azmi, 20, pelajar jurusan Ijazah Perhotelan, adalah anak kepada Hafizah Iszahanid manakala bapanya Ku Azmi Saad adalah kakitangan Print Tower Sdn Bhd (PTSB), sebuah syarikat di bawah The New Straits Times Press (M) Bhd (NSTP).

Ku Azmi Saad dan Hafizah Iszahanid.

Dalam kemalangan jam 7.20 malam, empat pelajar yang menunggang dua motosikal dirempuh SUV jenis Honda CRV dipandu seorang wanita.

Semua mangsa menunggang dua motosikal jenis Yamaha LC 135 dan Y15.

Dua lagi mangsa yang maut ialah Khairil Anuar Jamaluddin, 20, dan Mohd Akhmal Tukirin, 20, adalah pelajar Ijazah Perakaunan.

Rakan mereka yang parah ialah Mohd Ammar Danish Mohd Rodhuan, 20, sedang dirawat di Hospital Dungun dan akan dipindahkan ke Hospital Sultanah Nur Zahirah Kuala Terengganu untuk rawatan lanjut.

Ketika nahas menimpa anak mereka, pasangan itu dalam penerbangan ke Makkah untuk mengerjakan umrah menerusi Program Umrah dan Ziarah 2024, Media Prima Bhd membabitkan 127 peserta daripada kalangan kakitangan dan ahli keluarga.

Pesawat rombongan umrah itu berlepas dari KLIA jam 5.35 petang semalam dan sampai Jeddah jam 9.15 malam tadi (waktu tempatan).

Ketika berita ini ditulis, pasangan itu dalam penerbangan pulang semula ke Kuala Lumpur. Mereka berlepas dari Jeddah jam 1.55 pagi waktu tempatan.

SUV dipandu seorang wanita terbabas ke longkang selepas merempuh dua motosikal dinaiki empat pelajar UiTM Dungun malam tadi. – Foto tular

Ketua Polis Daerah Dungun, Superintendan Maizura Abdul Kadir ketika dihubungi mengesahkan menerima laporan kejadian itu.

Katanya, kes disiasat mengikut seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Ketika kejadian, semua mangsa dikatakan baru selesai makan malam di sebuah kedai makan berhampiran universiti berkenaan.

Kejadian dipercayai berlaku apabila Honda CRV dipandu wanita itu merempuh bahagian belakang kedua-dua motosikal terbabit.

Rempuhan berkenaan menyebabkan seorang daripada mangsa tercampak ke longkang. CRV itu turut terbabas dan masuk ke longkang berhampiran.

Keadaan sebuah motosikal pelajar UiTM Dungun yang maut dirempuh SUV dipandu seorag wanita. – Foto tular

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Dungun, Shahrizal Shamsudin berkata, pihaknya menerima panggilan jam 7.26 malam sebelum sepasukan 10 anggota dan dua jentera Unit Bantuan Perkhidmatan Kecemasan (EMRS) bergegas ke lokasi kejadian.

Katanya, mayat seorang mangsa yang terjatuh ke longkang dibawa naik anggota bomba.

“Tiga mangsa disahkan meninggal dunia oleh pegawai perubatan yang berada di lokasi kejadian.

“Mayat semua mangsa diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan lanjut,” katanya.

Dalam pada itu, Rektor UiTM Dungun menerusi Instagram menyebut tiga jenazah akan dimandi dan dikafankan di Hospital Dungun jam 10 pagi ini, disolatkan di Masjid UiTM Dungun sebelum dibawa pulang ke Ampang, Sungai Buloh dan Muar untuk dikebumikan.

Sementara itu, pengurusan Universiti Teknologi Mara (UiTM) Cawangan Terengganu malam tadi mengesahkan tiga pelajarnya meninggal dunia manakala seorang lagi parah dalam kemalangan.

“Pihak universiti dukacita atas kejadian yang berlaku dan menzahirkan ucapan takziah kepada keluarga pelajar terbabit.

“Semoga Allah SWT mencucuri rahmat atas roh arwah pelajar dan semoga Allah permudahkan urusan keluarga pelajar.

“Pihak universiti juga menyediakan bantuan dan sokongan yang diperlukan oleh keluarga,” kata kenyataan itu malam tadi.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini