Tumpuan :
Nasional

Anak pengamal media cemerlang, kurang mampu dapat perhatian PTPTN

Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin (berdiri tengah) bersama penerima Akaun Simpan SSPN Prime di Majlis Tautan Kasih KPT bersama Media di Petaling Jaya malam tadi.

PETALING JAYA: Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) melalui Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) menyalurkan RM1,000 kepada 10 anak pengamal media yang cemerlang dalam pendidikan dan kurang berkemampuan.

KPT berkata, sumbangan itu disalurkan dalam bentuk akaun Simpan Skim Simpanan Pendidikan Nasional (SSPN) Prime.

“Sumbangan itu diharap dapat meningkatkan motivasi pembelajaran dan membantu golongan yang memerlukan dalam aspek pendidikan.

“Ia juga diharap dapat menggalakkan penabungan melalui Simpan SSPN sekali gus meningkatkan imej positif PTPTN sebagai agensi di bawah KPT,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

KPT hari ini meraikan 170 pengamal media cetak, elektronik dan dalam talian pada Majlis Tautan Kasih Bersama Media, di sini sebagai menghargai sumbangan dan kerjasama komuniti itu dalam menyampaikan berita sahih kepada masyarakat.

Turut hadir Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin; Ketua Setiausaha KPT, Datuk Seri Abdul Razak Jaafar; Pengerusi Kumpulan Media Prima Berhad (MPB), Datuk Seri Dr Syed Hussian Aljunid dan Pengarah Urusan Kumpulan MPB, Rafiq Razali.

Hadir sama Pengarang Urusan Kumpulan The New Straits Times Press (Malaysia) Berhad (NSTP) yang juga Pengarang Kumpulan BH, Datuk Ahmad Zaini Kamaruzzaman.

Menurut KPT, Simpanan SSPN menawarkan pelbagai keistimewaan seperti pelepasan taksiran cukai pendapatan sehingga RM8,000 setahun dan perlindungan takaful ke atas pendeposit.

Selain itu, ia juga menawarkan Geran Sepadan sehingga RM10,000 untuk sebuah keluarga yang layak, dividen yang kompetitif serta simpanan yang dijamin kerajaan dan patuh syariah.

Sempena Aidilfitri ini, PTPTN turut mengadakan Cabutan WOW! Syoknya Raya menawarkan hadiah wang tunai berjumlah hampir RM50,000 kepada 23 pemenang bermula 1 Mac sehingga 31 Mei ini.

Kempen Ganjaran Kesetiaan Simpan SSPN Prime 2023 pada kadar satu peratus sedang berlangsung sehingga 31 Julai ini sebagai ganjaran tambahan selain dividen tahunan.

Pada majlis sama, Agensi Kelayakan Malaysia (MQA) mengadakan perkongsian ilmu mengenai inisiatif pembelajaran sepanjang hayat (PSH), pendidikan fleksibel dan kursus jangka pendek melalui program APEL.A, APEL.C, APEL.Q dan micro-credentials.

Ia ditawarkan oleh institut pengajian tinggi (IPT) bagi membolehkan pengamal media meningkatkan ilmu bagi memenuhi keperluan industri.

Loading...
Terkini