comscore
Tumpuan :
Nasional

Anak Peneroka Cemerlang STPM, Tekad Capai Kejayaan Lebih Tinggi

Oleh Siti Nor Akmaliah Razak

GUA MUSANG: Kekangan dalam persekitaran pembelajaran di kawasan luar bandar bukan penghalang untuk mencapai kecemerlangan dalam pelajaran.

Biarpun berdepan pelbagai kesukaran termasuk terpaksa belajar secara dalam talian, anak peneroka Fatin Nur Alia Mohd Zailani, 20, membuktikan sebaliknya.

Pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Tengku Indera Petra 1, Gua Musang, itu berjaya meraih keputusan cemerlang, PNGK 3.92 dalam peperiksaan Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM) yang diumumkan baru-baru ini.

Menurut anak ketiga dari tujuh beradik ini, dia amat bersyukur dengan keputusan itu dan merancang untuk mengikut jejak kakak dan abangnya ke menara gading.

“Walaupun saya antara pelajar yang berdepan dengan pandemik Covid 19, dan belajar secara online, saya mampu membuktikan bahawa saya mampu mencapai keputusan yang cemerlang dan mampu meneruskan pelajaran dan cita-cita ke menara gading,” katanya.

Sementara itu, bapanya, Mohd Zailani Mohd Noor, 49, yang juga peneroka di Rancangan Kemajuan Tanah (RKT) KESEDAR Sungai Asap, melahirkan rasa bersyukur apabila anak-anaknya berjaya dalam pendidikan.

Katanya, anak sulung, Fatin Nur Natasya, 22, kini melanjutkan pengajian di Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) manakala anak kedua, Mohammad Luqman Hafiz, 21, menyambung pelajaran di Politeknik Ungku Omar, Ipoh Perak.

Anak keempat pula, Mohammad Luqman Faiz, 18, berada di Kolej Komuniti Bentong dan tiga lagi masih bersekolah.

“Saya bersyukur dapat memberi pelajaran kepada anak-anak saya, buat masa ni sudah dua orang sudah melanjutkan pelajaran ke universiti walaupun kesukaran pendapatan bagi diri saya.”

“Walaupun saya duduk di kawasan kampung, dapat juga memberi pendidikan kepada anak-anak saya setanding dengan anak-anak kawasan bandar. Terima kasihlah kepada anak-anak saya, kerana study bersungguh-sungguh kerana dia tengok ibu bapa dia sukar pendapatan yang mana apa dia mintak tak selalu dibagi. Makan masa lah nak bagi bagi sesuatu untuk anak nak buat pembelajaran,’’ katanya.

Mohd Zailani dan isteri, Shahariza Binti Mohd Shaari, 47, selalu menasihati anak-anak mereka, bahawa kemiskinan dan kekangan tinggal di luar bandar tidak boleh dijadikan alasan untuk mencapai kejayaan, kerana yang penting adalah kesungguhan.

Loading...
Terkini