comscore
Tumpuan :
Nasional

Anak mengadu dicucuh api, dipukul – Ibu mangsa dera

Kanak-kanak berusia tujuh tahun yang menjadi mangsa dera di Pulai, Johor. – Foto: NSTP

JOHOR BAHRU: Kanak-kanak lelaki berusia 7 tahun yang ditemukan dalam keadaan bogel dan dikurung dalam tandas ketika diselamatkan di sebuah flat di Pulai, mendakwa sering menahan sakit akibat dipukul, selain dicucuh api oleh teman wanita bapanya.

Ibu mangsa dikenali Ana, 34, berkata perkara itu dimaklumkan sendiri anaknya ketika bertemu buat pertama kali selepas kira-kira setahun terpisah dengan mangsa.

Berdasarkan perkongsian, katanya, anaknya itu mendakwa kerap meminum air di dalam tandas ketika kelaparan (akibat dikurung) dan kadang-kala hanya menjamah sisa makanan yang tertinggal.

“Dia juga beritahu terpaksa menahan sakit apabila sengaja dipukul serta dicucuh api oleh teman wanita (bekas) suami (bapa mangsa) dan tiada tempat untuk mengadu nasibnya.

“Saya tidak melihat perbuatan mereka, namun siapa saja pelakunya, saya tidak akan memaafkan mereka dan berharap (mereka) dibawa ke muka pengadilan.

“Saya tidak dapat bayangkan nasib jika dia (mangsa) tidak diselamatkan polis, mungkin kami kehilangannya,” katanya yang berniaga nasi lemak di Kuala Selangor.

Ana mengakui sebak melihat fizikal anaknya itu yang berubah sehingga hampir tidak mengenalinya.

“Saya pernah buat laporan tujuh kali termasuk di Banting, Selangor kerana bekas suami tidak benarkan saya bertemu dengannya sejak lebih setahun lalu.

“Saya tidak menolak kemungkinan dia menjadi mangsa penderaan dalam tempoh setahun ini,” katanya.

Ana memaklumkan, ketika bertemu, anaknya itu menyatakan hasrat untuk pulang ke rumah bersamanya, namun memujuk supaya mendapatkan rawatan di Hospital Sultanah Aminah (HSA) sehingga keadaannya beransur baik.

Selain mangsa, Ana turut mempunyai dua anak hasil perkahwinan terdahulu yang berusia 13 dan 15 tahun, malah ibu tunggal itu juga menjaga ibunya berusia 54 tahun yang menghidap strok.

Semalam, media melaporkan seorang kanak-kanak lelaki menjadi mangsa dera ditemukan tidak bermaya, dibiarkan berbogel dan dikurung dalam tandas rumah keluarganya di Pulai, Jumaat lalu.

Ketua Polis Daerah Iskandar Puteri, Asisten Komisioner Rahmat Ariffin mengesahkan dua suspek ditahan untuk membantu siasatan.

Loading...
Terkini