ISKANDAR PUTERI: “Selepas gagal menjelaskan hutang along kira-kira RM200,000, anak tunggal lelaki saya dan isterinya menghilangkan diri,” kata warga emas dikenali sebagai Khoo, 63.
Khoo berkata, dia hanya menyedari anaknya ghaib bersama keluarga apabila pulang dari hospital ke rumahnya di Taman Bukit Indah di sini, Oktober lalu.
“Saya pulang ke rumah selepas menjalani pembedahan usus. Saya dirawat selama 10 bulan di Hospital Sultanah Aminah (HSA) Johor Bahru.
“Apabila sampai di rumah, anak dan menantu termasuk dua cucu yang berusia dua dan empat tahun yang tinggal bersama-sama saya sebelum ini sudah tidak ada.
“Beberapa barang dan pakaian mereka juga sudah tidak ada. Saya bingung tidak tahu apa yang berlaku,” katanya ditemui pada sidang akhbar di Pejabat Dewan Undangan Negeri (DUN) Perling, Taman Perling, hari ini.
Khoo yang sebelum ini bekerja sebagai pemandu teksi berkata, beberapa hari kemudian beberapa along datang ke rumahnya menuntut wang pinjaman.
Along berkenaan mendakwa anaknya meminjam wang dan memintanya melunaskan pinjaman semuanya berjumlah lebih RM200,000.
“Bukan sahaja along datang ke rumah tetapi juga ada along lain yang menelefon mahukan saya membayar hutang anak saya.
“Semua along mengugut mahu merosakkan kereta dan rumah saya jika tidak membayarnya,” katanya.
Disebabkan bimbang dengan keselamatan dirinya, Khoo membuat laporan di Balai Polis Nusa Bestari pada 31 Disember lalu.
Menurutnya, anaknya yang berusia 27 tahun sebelum ini bekerja di kedai makan di Singapura dan pernah juga meminjam along di republik itu.
Menurutnya, dia tidak pasti sama ada anaknya sudah melunaskan hutang along di Singapura atau hutang along di Malaysia tetapi barang kemas, kereta dan motosikal anaknya sudah diambil along.
“Isteri saya yang bekerja sebagai pelayan restoran di Singapura tidak berani pulang ke rumah disebabkan ancaman along.
“Saya juga bimbang along akan turut merosakkan harga benda jiran,” katanya.
Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.