Tumpuan :
Nasional

Anak maut, bapa cedera lori jatuh gaung

Seorang anak maut manakala bapanya cedera, selepas lori yang dinaiki terbabas ke gaung di Kilometer 61.7 Jalan Sungai Rengit–Kota Tinggi pagi tadi. – FOTO: PDRM

KOTA TINGGI: Seorang lelaki maut manakala bapanya cedera selepas lori yang dinaiki mereka terbabas ke dalam gaung di Kilometer 61.7 Jalan Sungai Rengit–Kota Tinggi, pagi tadi.

Kemalangan itu menyebabkan mangsa Muhammad Izzuddin Nor Zaki Afandi, 23, maut di lokasi kejadian.

Ketua Polis Daerah Kota Tinggi, Superintendan Yusof Othman berkata, polis menerima maklumat kejadian jam 11.30 pagi membabitkan dua kenderaan berhampiran kolam pancing udang harimau – kolam seluyut di sini.

“Kemalangan membabitkan lori jenis Daihatsu dipandu lelaki tempatan berumur 50 tahun bersama penumpang iaitu anaknya manakala Perodua Ativa dipandu lelaki tempatan berusia 39 tahun.

“Kemalangan dipercayai berlaku apabila lori itu dari arah Kota Tinggi menghala ke Sungai Rengit terbabas dan terjunam ke gaung setelah mengelak sebuah lori lain dari arah bertentangan.

“Ketika kejadian muatan batu daripada lori jenis Daihatsu telah terpelanting mengenai Perodua Ativa.

“Mangsa yang maut cedera parah di kepala dan meninggal dunia di tempat kejadian,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini