comscore
Tumpuan :
Nasional

Anak lelaki pimpinan GISBH antara lima ditahan di Bukit Kayu Hitam

Oleh: Ing Boon Seng

PETALING JAYA: Lima lelaki termasuk anak pimpinan Global Ikhwan Services And Business Holding (GISBH) ditahan ketika cuba keluar dari sempadan negara petang tadi.

Dua kenderaan jenis ‘motorhome’ yang mempunyai lambang GISBH ditahan di sempadan Bukit Kayu Hitam.

BACA TERKINI KLIK: 19 individu termasuk pemimpin utama GISBH ditahan

Ketua Polis Negara, Tan Sri Razarudin Husain ketika dihubungi Buletin TV3 mengesahkan tangkapan berkenaan.

Tambah beliau, bertindak atas maklumat, sepasukan polis dari Unit Risikan Sempadan Zon Utara mengesan dua buah ‘motorhome’ menghala ke Kompleks ICQ Bukit Kayu Hitam menuju negara jiran kira-kira jam 6 petang.

Sebuah lagi kereta dinaiki suspek turut ditahan.

Pemeriksaan kemudian dilakukan dengan pasukan Jabatan Siasatan Jenayah Kedah dan menahan lima lelaki berusia antara 28 hingga 41 tahun.

Salah seorang yang ditahan dikenal pasti anak pimpinan GISBH berusia 39 tahun.

Kesemua suspek dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah Kubang Pasu untuk tindakan lanjut.

PDRM sebelum ini menyiasat GISBH dibawah jenayah terancang kerana disyaki terlibat dalam rumah amal secara haram.

Minggu lalu, polis menyelamatkan 402 kanak-kanak, terdiri daripada 201 lelaki dan 201 perempuan, yang berusia antara satu hingga 17 tahun, dari 20 rumah jagaan di Selangor dan Negeri Sembilan dalam operasi menyelamat dinamakan Op Global.

Serbuan berjaya menangkap seramai 171 suspek berusia antara 17 hingga 64 tahun termasuk seorang guru dan penjaga asrama.

 

Loading...
Terkini