NILAI: Bapa kepada lelaki yang dikatakan diikat dan dipukul hingga maut kerana terbabit dalam kemalangan dekat Taman Pelangi Semenyih 2, Kajang, Selangor, Selasa lalu meluahkan rasa sedih dan tidak sanggup untuk melihat video kejadian itu.
Samad Bakar, 70, bapa kepada Allahyarham Shahril Samad, 41, berkata, dia sekeluarga hanya berharap pelaku dapat dibawa ke muka pengadilan dan menerima hukuman setimpal.
Warga emas itu berkata, dia hanya mengetahui kejadian itu selepas dihubungi anak ketiga kira-kira jam 1.30 pagi pada hari kejadian.
“Ketika itu anak saya hanya beritahu arwah dipukul. Tiada pula dia maklum yang dia (Shahril) sudah meninggal dunia.
“Saya mula bersiap ke lokasi, namun anak beritahu tidak perlu kerana arwah sudah dibawa ke Hospital Serdang,” katanya ketika ditemui di rumahnya di Taman Ulu Beranang, di sini, hari ini.
Menurutnya, dia tidak mengetahui bagaimana kejadian sebenar berlaku namun beranggapan arwah tidak sepatutnya diperlakukan sedemikian.
“Arwah anak kedua dari tujuh beradik dan seorang yang baik malah tidak pernah melawan apabila dimarahi. Dia masih bujang dan yang membantu saya serta isteri di kedai makan kami,” katanya.
Sementara itu adik Allahyarham, Syazwan Samad, 27 berkata, keluarga menyerahkan kepada polis untuk mengambil tindakan undang-undang setimpal terhadap individu terbabit.
“Mereka tidak sepatutnya dilepaskan begitu saja kerana telah menyebabkan kematian. Saya sendiri ada dapat rakaman keseluruhan kejadian daripada orang awam yang berada di lokasi dan maklumkan bersedia jadi saksi.
“Oleh sebab itu kami harap ada keadilan kepada kematiannya,” katanya.
Dalam kejadian Selasa lalu, Allahyarham Shahril bukan hanya ditarik keluar daripada kereta oleh orang awam, bahkan tangannya diikat dan dia dipukul hingga maut.
Kejadian dipercayai berlaku selepas Allahyarham yang memandu Proton Saga kelabu dikatakan terbabit kemalangan dengan seorang penghantar makanan.
Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.